Kemaskini terakhir : 21/11/2019 4:00     

KWSP Tandatangani MOU Kolaboratif Bersama Perkhidmatan Pencen Nasional Korea

KUALA LUMPUR, 21 November 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perkhidmatan Pencen Nasional Korea (NPS). Ini sebahagian daripada usaha KWSP untuk mengakses amalan terbaik dalam sektor perlindungan sosial disamping menggalakkan perkongsian ilmu berkenaan pengurusan sistem persaraan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “KWSP bangga dan gembira menjalinkan kolaborasi formal ini dengan NPS. Kerjasama ini memberi kami peluang untuk memanfaatkan tenaga kepakaran diperingkat global dan mencari solusi daripada perspektif berbeza.

 

“Kami juga berbesar hati untuk berkongsi pengalaman unik KWSP di Malaysia untuk memberi nilai tambah kepada NPS dalam konteks kesejahteraan sosial negara Korea.” 

 

Tunku Alizakri menambah bahawa KWSP ingin mendapatkan manfaat daripada kemahiran dan inisiatif baru rakan serantaunya itu dalam menangani isu penuaan penduduk serta peningkatan ekonomi gig, dengan matlamat bersama untuk membangun dan memahami persekitaran keselamatan sosial kedua-dua negara.  

 

NPS yang ditubuhkan pada tahun 1987 merupakan antara dana pencen terbesar diperingkat global dengan jumlah aset dibawah pengurusan (AUM) sebanyak USD 600 bilion dan 21 juta pencarum berbanding dengan 14.5 juta ahli KWSP (sehingga Okt 2019). Kedudukan NPS sebagai dana pencen utama di pentas dunia membolehkan KWSP belajar daripada contoh yang terbaik, terutamanya berikutan peningkatan isu-isu sosial yang mencabar serta ketidaktentuan ekonomi. 

 

MoU yang menguntungkan kedua-dua belah pihak itu melibatkan kerjasama dalam kegiatan latihan, merangkumi bidang dasar dan inisiatif pencen, projek penyelidikan dan perkongsian maklumat mengenai amalan terbaik. 

 

NPS menawarkan empat faedah untuk ahli-ahlinya, iaitu pencen usia tua, pencen kecacatan, dan juga manfaat dalam bentuk pembayaran pengeluaran penuh. Diuruskan oleh 7,482 kakitangan, liputan persaraan NPS adalah hampir serupa dengan model KWSP yang melibatkan majikan, pekerja dan juga golongan bekerja sendiri.  

 

“Seiring dengan aspirasi Malaysia menuju status negara maju, KWSP perlu melihat kepada model-model terbaik untuk merangka strategi baru dalam menangani isu-isu sosial seperti peningkatan ekonomi gig dan penuaan penduduk. Kerjasama ini menggariskan komitmen pro-aktif KWSP untuk mencari solusi kepada isu berkaitan kesejahteraan ahli. 

 

“Dasar MoU ini adalah kepercayaan tentang kepentingan kerjasama dan keperluan untuk memanfaatkan kepakaran dengan tujuan menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan cekap bagi ahli kami, dalam jangka masa panjang membantu mereka mencapai masa depan yang lebih baik.”

 

MoU ini dimeterai semasa Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 anjuran KWSP oleh Tunku Alizakri dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NPS Sung Joo Kim, serta disaksikan bersama oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman. 


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk 
Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]
21 November 2019 

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangn di peringkat negara.