Kemaskini terakhir : 06/12/2020 3:34     

CAWANGAN KWSP JOHOR BAHRU DITUTUP SEMENTARA DARI 6 DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR, 6 Disember 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin memaklumkan bahawa seorang anggota di KWSP Johor Bahru telah disahkan positif COVID-19. Anggota tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

Sehubungan itu, cawangan KWSP Johor Bahru (kaunter perkhidmatan dan pejabat) akan ditutup sementara bermula 6 Disember 2020 sehingga dimaklumkan kelak. Ini adalah berikutan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi. Ahli-ahli yang telah membuat janji temu bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online. Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP di sekitar Johor yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun.

KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan anggota dan orang ramai. Semua anggota KWSP Johor Bahru akan menjalani ujian swab COVID-19, dan jika didapati positif, akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Semua cawangan KWSP akan tetap mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my

  
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Disember 2020
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.