Kemaskini terakhir : 17/10/2020 9:07     

PENYAMBUNGAN SEMULA PERKHIDMATAN KAUNTER DI KWSP KLANG MELALUI JANJI TEMU ONLINE

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan kaunter di KWSP Klang mulai Isnin, 19 Oktober 2020, selaras dengan SOP yang ditetapkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diisytiharkan untuk negeri Selangor.

Perkhidmatan kaunter di KWSP Klang disambung semula setelah ditutup sementara sejak 9 Oktober 2020 berikutan pengisytiharan PKPB di daerah tersebut.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli dan anggota sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan SOP berikut di semua kaunter perkhidmatan dan pejabatnya:

A. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my/janjitemu ;

B. Semua ahli perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis KWSP; dan

C. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis KWSP.

Dalam persekitaran semasa yang tidak menentu ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada ahli sama ada melalui perkhidmatan kaunter atau saluran digital. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman sesawang www.kwsp.gov.my.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
17 Oktober 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.