Kemaskini terakhir : 12/03/2019 1:37     

KWSP Lancar Program Tranformasi Bayaran Caruman

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan Program Transformasi Bayaran Caruman melalui e-Caruman untuk menggalakkan majikan mengoptimumkan penggunaan kemudahan e-Caruman semasa membayar caruman KWSP setiap bulan.

 

Program ini merupakan kerjasama antara KWSP dan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear), sebuah anak syarikat Bank Negara Malaysia dan mengendalikan sistem FPX.  Integrasi dengan sistem FPX ini membantu majikan untuk membuat bayaran secara dalam talian terus dari portal e-Caruman dan aplikasi mudah alih tanpa apa-apa bayaran transaksi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Program ini adalah selaras dengan objektif KWSP untuk mengurangkan penggantungan kepada servis di kaunter, mempercepatkan transaksi mudah alih dan meningkatkan pengalaman semasa berurusan dengan KWSP.  Majikan akan mendapati penggunaan sistem FPX menjadikan proses bayaran caruman lebih cepat dan selamat.

 

“Sejak ianya diperkenalkan pada Januari 2013, kemudahan e-Caruman ini telah diterima baik oleh majikan dan sehingga September 2016, lebih dari 95 peratus majikan menggunakan kemudahan ini setiap bulan.  Memandangkan mereka sudah selesa menggunakan e-Caruman, kami menggesa majikan untuk mengambil satu langkah lagi dengan membuat pembayaran menggunakan kemudahan sistem FPX yang terkandung dalam sistem e-Caruman.

 

Mengulas mengenai usahasama dengan KWSP, Pengarah Urusan MyClear Peter Schiesser menggambarkan kerjasama ini sebagai satu lagi pencapaian dalam penyediaan pembayaran elektronik di Malaysia. 

 

“Untuk pelanggan dan majikan, penggunaan FPX ini adalah kaedah yang mudah, selamat dan efisien untuk membayar caruman KWSP setiap bulan. Penggunaan FPX untuk e-Caruman adalah percuma untuk majikan tanpa sebarang yuran transaksi.” Tambah beliau, perkhidmatan FPX boleh menyokong pembayaran melalui kedua-dua sektor perbankan runcit dan korporat, serta perkhidmatan FPX ditawarkan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di 27 bank ahli FPX.

 

Selain mendaftar dengan i-Akaun Majikan, pihak majikan juga perlu mempunyai kemudahan perbankan dalam talian dengan bank masing-masing untuk menggunakan kemudahan FPX.  Sistem FPX ini turut menyediakan majikan maklumat pembayaran melalui satu saluran yang memudahkan KWSP untuk mngemaskini laporan transaksi untuk pelbagai bank.  Tiada pendaftaran diperlukan oleh majikan untuk menggunakan perkhidamtan FPX.

 

Sehingga September 2016, sebanyak 418,411 majikan aktif telah menggunakan kemudahan e-Caruman untuk menghantar Borang A secara dalam talian yang melibatkan jumlah RM4.40 bilion. Walau bagaimanapun, hanya 20.15 peratus atau 98,682 majikan membuat pembayaran caruman mereka secara dalam talian untuk jumlah RM1.57 bilion.

 

Datuk Shahril menegaskan bahawa adalah amat penting bagi majikan untuk mula menggunakan kemudahan e-Caruman kerana bermula 1 Januari 2017, semua transaksi majikan dengan KWSP akan dilakukan secara dalam talian dan KWSP akan menghentikan pengedaraan dan penggunaan Borang A (sistem manual untuk membuat bayaran).

 

Majikan yang mempunyai kurang dari 10 pekerja juga boleh memantau akaun mereka melalui aplikasi mudah alih i-Akaun Majikan yang diperkenalkan pada April tahun ini.  Melalui aplikasi ini, majikan boleh menyemak maklumat pekerja selain merujuk rekod terdahulu mengenai caruman yang telah dikreditkan, Borang A dan pembayaran yang telah dibuat.

 

Beberapa majikan telah menyatakan rasa puas hati menggunakan e-Caruman dan FPX memandangkan kedua-dua perkhidmatan ini memudahkan transaksi dan tidak memerlukan mereka untuk ke bank atau cawangan KWSP.  Selain mudah dan efisien, perkhidmatan dalam talian ini juga menyediakan tahap keselamatan yang lebih tinggi.

 

Turut hadir adalah Pengerusi MyClear Dato’ Sri Dr Halim Shafie, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish and Timbalan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Davies Danavaindran.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai e-Caruman, majikan boleh melayari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.  Majikan juga boleh melayari www.myclear.org.my untuk maklumat mengenai FPX.  

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Mengenai Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear)

MyClear, sebuah anak syarikat penuh Bank Negara Malaysia, mensasarkan untuk meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan negara Malaysia dengan menyediakan sistem pembayaran bertaraf dunia dan infrastruktur pasaran kewangan.  Kami membangunkan dan mengendalikan sistem pembayaran bertaraf dunia dan infrastruktur pasaran kewangan yang membolehkan fungsi dan pembangunan sistem kewangan dan ekonomi Malaysia keseluruhannya yang selamat, dipercayai dan lebih efisien.