Kemaskini terakhir : 11/10/2019 10:58     

KWSP Melihat Ke Arah Resolusi PLUS

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum tentang pengumuman Kerajaan mengenai PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada pembentangan Belanjawan 2020, serta keputusan untuk mengurangkan caj purata tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya yang dimiliki oleh PLUS.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “Kami mengambil perhatian mengenai keputusan yang dibuat dan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad secepat mungkin untuk memastikan sebarang resolusi akhir melindungi kepentingan ahli kami."

Kami berharap perkara ini akan menuju kepada konklusi yang memuaskan serta mengambil kira kebimbangan kami dan mengiktiraf nilai sebenar aset ini. Kami memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP tidak akan menjual PLUS kurang dari nilai pasaran yang berpatutan.”

PLUS telah memberi sumbangan besar kepada KWSP baik melalui pulangan kewangan mahupun faedah sosial dalam bentuk lebuhraya yang selamat, mudah dan selesa untuk ahli dan rakyat Malaysia secara umum.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk,

Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]

11 Oktober 2019

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.