Kemaskini terakhir : 25/09/2019 7:00     

KWSP Menuju Ke Arah Masa Depan Digital Dengan i-Invest

KWSP MENUJU KE ARAH MASA DEPAN DIGITAL DENGAN i-INVEST

Saluran layan diri dalam talian merupakan tawaran terkini dalam siri disruptif digital KWSP

KUALA LUMPUR, 24 September 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan inovasi terbaru, i-Invest, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberi tambah nilai kepada ahli dalam era digitalisasi.

Saluran layan diri dalam talian ini boleh diakses melalui bahagian Ahli dalam i-Akaun bagi membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 mereka untuk dilaburkan ke dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh KWSP.

Di dalam ucapan beliau kepada lebih 60 wakil IPD, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Era semasa yang memberi penekanan kepada inovasi telah memberikan peluang kepada KWSP untuk menganggu industri kewangan serta mentransformasikan kaedah kami bagi meningkatkan nilai untuk ahli kami.  

“Saluran i-Invest ini bukan sahaja membolehkan ahli yang layak untuk menguruskan sendiri dana unit amanah mereka, malah memperkasakan mereka dengan maklumat yang boleh diakses dan dianalisa, di samping menyemak dan melakukan transaksi secara dalam talian, seterusnya menyediakan peluang untuk meningkatkan literasi pelaburan mereka.”   

Dengan pelancaran i-Invest, KWSP kini merupakan dana persaraan pertama di dunia yang menghubungkan simpanan persaraan ahli secara terus dengan perkhidmatan dalam talian pelaburan. Versi beta i-Invest telah dilancarkan pada 19 Ogos, dan dalam masa sebulan, hampir 2,500 ahli KWSP telah melakukan transaksi bernilai RM32 juta.

Tan Sri Samsudin menekankan bahawa agar KWSP dapat melaksanakan misinya untuk menjamin masa depan yang kukuh untuk ahli, KWSP perlu sentiasa pantas, merangkul perubahan dan mengubah corak bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Tunku Alizakri Alias pula berkata, beberapa tahun kebelakangan ini, teknologi digital telah memberikan impak positif ke atas corak pelaburan ekoran daripada sumber informasi yang mudah diakses melalui capaian Internet.

“Kami membangunkan i-Invest bagi memberi peluang kepada ahli kami untuk menguasai masa depan kewangan mereka dengan ciri-ciri yang membantu mereka untuk membuat keputusan berinformasi, bermula dengan pelaburan unit dana amanah,” kata beliau.

Tunku Alizakri mendedahkan bahawa i-Invest bakal memberi impak kepada lebih 2.3 juta ahli yang layak, dan ketersediaan maklumat pelaburan di platform ini adalah selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023. “Mendidik orang awam juga bermakna KWSP perlu membuka akses kepada kaedah dan sumber yang membolehkan pembelajaran yang lebih pantas dan bermakna.

“Untuk menggalakkan literasi kewangan di kalangan ahli, kami perlu terlebih dahulu memberikan kebebasan dan fleksibiliti kepada mereka untuk menguruskan pelaburan secara sendiri.”

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

LAMPIRAN

 

CIRI-CIRI LAIN i-INVEST

  • Platform i-Invest membolehkan ahli berumur 55 tahun dan kebawah, untuk memindahkan sebahagian daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 dan dilaburkan terus dalam dana unit amanah yang ditawarkan dalam Institusi Pelaburan Dana (IPD) yang diluluskan oleh KWSP.

  • Ahli boleh memindahkan simpanan daripada Akaun 1 sehingga 30% daripada jumlah melebihi Simpanan Asas untuk dilaburkan dalam dana yang layak. 

  • Ahli juga boleh membuka akaun untuk membuat pelaburan di dalam dana unit amanah melalui mana-mana IPD menggunakan kemudahan i-Invest.

  • Ahli berumur 55 tahun dan ke atas boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun, tertakluk kepada pengekalan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka.

  • KWSP meletakkan had caj jualan maksima sehingga 0.5% bagi IPD, berbanding caj 3% ke atas transaksi sekiranya ia dilakukan di luar talian atau melalui ejen.

Tamat