Kemaskini terakhir : 22/02/2020 1:11     

KWSP CAPAI SASARAN UNTUK SIMPANAN SHARIAH

  • 5.00% dividen diumumkan untuk Simpanan Shariah
  • Pencapaian menepati sasaran biarpun situasi ekonomi sukar
  • Pasaran ekonomi 2020 dijangka lebih mencabar

KUALA LUMPUR, 22 Februari 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengisytiharkan kadar dividen 5.00% untuk Simpanan Shariah 2019, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion. Berdasarkan Akta KWSP 1991, KWSP perlu membayar dividen untuk Simpanan Shariah pada sebarang kadar, bergantung kepada prestasi pelaburan.

“Simpanan Shariah dilancarkan pada Ogos 2016 atas permintaan tinggi segelintir ahli yang mengkehendaki simpanan mereka diurus dan dilabur berdasarkan prinsip syariah,” kata Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias. 

Mengulas mengenai perbezaan antara kadar dividen Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional, Alizakri berkata, “Perbezaan antara kedua-dua simpanan adalah kerana pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan Simpanan Konvensional. Majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.”

Tambah beliau, “Walau bagaimanapun, KWSP memberi jaminan kepada ahli yang memilih Simpanan Shariah bahawa kesemua pelaburan mereka adalah patuh syariah. Keadaan pasaran 2019 yang mencabar serta pengurusan yang mantap dan usaha pengagihan aset masih membolehkan kami untuk memenuhi mandat dan sasaran Simpanan Shariah kami untuk tahun 2019.

Alizakri menjangkakan tahun 2020 akan menjadi lebih tidak menentu berbanding 2019. “Wabak virus COVID-19 sudah tentunya akan memberikan impak ke atas prestasi pasaran dan bagi menghadapi situasi ini, pasaran domestik perlu lebih berdaya tahan. Walau bagaimanapun, KWSP akan terus berusaha untuk mengekalkan prestasi Simpanan Shariah untuk tahun 2020.”

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Media KWSP

Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]

22 Februari 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.