Kemaskini terakhir : 13/03/2019 5:13     

Ahli KWSP Jangan Terpedaya Dengan Panggilan Palsu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan orang ramai dan ahlinya agar berhati-hati terhadap panggilan palsu yang dibuat oleh individu yang menyamar menggunakan nama KWSP dan talian Hotline Anti-Fraud KWSP untuk menipu mereka.

 

Modus operandi kegiatan penipuan ini adalah seperti berikut:

• Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa daripada KWSP meminta mereka untuk membuat pengesahan sama ada telah membuat permohonan pengeluaran melalui internet. Sebenarnya, semua permohonan pengeluaran KWSP perlu dihantar secara fizikal ke cawangan KWSP berserta dengan dokumen sokongan yang berkaitan.

• Apabila mangsa memaklumkan tidak pernah memohon pengeluaran tersebut, penyamar berkenaan memberitahu berkemungkinan berlaku penipuan yang melibatkan akaun mangsa. Penyamar kemudiannya memaklumkan mangsa akan menerima panggilan daripada pihak ‘polis’.

• Penyamar lain yang mendakwa sebagai ‘polis’ seterusnya akan menghubungi mangsa dan meminta butiran akaun bank beliau.

 

KWSP ingin menegaskan bahawa Talian Hotline Anti-Fraud tidak digunakan untuk menghubungi ahli tetapi hanya menerima panggilan daripada orang ramai. Oleh itu, KWSP ingin mengingatkan ahli agar berwaspada dengan aktiviti penipuan seperti ini.

 

Ahli yang menerima panggilan mencurigakan mengenai KWSP diminta agar membuat laporan melalui Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121, yang beroperasi dari pukul 8.15 pagi hingga 5.15 petang, Isnin hingga Jumaat atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melaporkan terus kepada polis.

 

(NIK AFFENDI JAAFAR)
Pengurus Besar
Perhubungan Awam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 5 Julai 2012