Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:55     

Ahli Kini Boleh Membuat Pengeluaran Perumahan Dan Pendidikan Melalui e-Pengeluaran

KUALA LUMPUR, 22 April 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan perkhidmatan e-Pengeluaran kini diperluaskan dengan merangkumi Pengeluaran Pendidikan bagi membolehkan ahli membuat permohonan pengeluaran simpanan KWSP secara dalam talian untuk membiayai yuran pendidikan ahli atau anak-anak ahli di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

 

Pengeluaran Pendidikan ini merupakan pengeluaran kedua selepas Pengeluaran Perumahan yang ditawarkan oleh e-Pengeluaran yang telah menyaksikan penambahan jumlah penyertaan institusi perbankan.  Selain RHB Bank, institusi perbankan lain yang menyertai e-Pengeluaran adalah RHB Islamic, Maybank, Bank Islam, Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC), Bank Simpanan Nasional (BSN), Ambank dan United Overseas Bank (UOB).

 

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “e-Pengeluaran merupakan perkhidmatan terbaru KWSP yang membolehkan ahli yang mempunyai i-Akaun untuk menyerahkan permohonan pengeluaran mereka pada bila-bila masa dan dimana jua.

 

“Setiap suku tahun, jumlah permohonan pengeluaran, terutama pengeluaran perumahan, mencatatkan kenaikan, maka e-Pengeluaran telah dibangunkan bagi memudahkan proses dan memendekkan tempoh permohonan pengeluaran.”

 

Perkhidmatan e-Pengeluaran telah diperkenalkan pada 2013, bermula dengan pengeluaran perumahan. Penambahbaikan e-Pengeluaran kini membolehkan ahli membuat permohonan pengeluaran berikut, tertakluk kepada terma dan syarat:

 

1. Pengeluaran Perumahan

•   Mengurang/menyelesaikan baki pinjaman perumahan

•   Membayar ansuran bulanan perumahan

•   Membeli/membina rumah

 

2. Pengeluaran Pendidikan

•   Membiayai yuran pengajian ahli atau anak-anak ahli di institut pengajian tinggi tempatan yang menyertai e-Pengeluaran

•   Membayar baki pinjaman pendidikan dari instutusi perbankan yang menyertai e-Pengeluaran

                                                           

Dato’ Mohd Naim berkata ahli digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan e-Pengeluaran kerana ia merupakan pilihan yang lebih efisien untuk menyerahkan permohonan pengeluaran perumahan atau pendidikan ke cawangan KWSP.  Bermula perlaksanaan pertama pada 2013 sehingga April 2016, sebanyak 64,297 permohonan untuk pelbagai jenis pengeluaran telah diserahkan melalui e-Pengeluaran, berjumlah RM32.35 juta diluluskan.

 

Terdapat kini 10 institut pengajian tinggi yang sedang melalui proses penilaian integrasi sistem dengan e-Pengeluaran, yang mana tiga institusi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Multimedia (MMU) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), telah disahkan penyertaan.

 

“Kami sedang berusaha untuk menggalakkan lebih banyak institusi dan bank untuk menyertai e-Pengeluaran agar ahli mendapat pengalaman dan manfaat membuat pengeluaran di hujung jari melalui perkhidmatan ini,” kata Dato’ Mohd Naim.

 

Selain kemudahan menghantar permohonan secara online, perkhidmatan e-Pengeluaran ini membolehkan ahli memeriksa jumlah yang layak dikeluarkan untuk skim tertentu, serta memudahkan pengkreditan jumlah yang diluluskan ke dalam akaun ahli atau akaun institusi perbankan yang terlibat.

 

e-Pengeluaran adalah terbuka kepada semua ahli yang mempunyai i-Akaun. Ahli yang belum mempunyai i-Akaun boleh mendaftar dengan menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau melalui kios KWSP atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP atau melalui Mobile Team KWSP. 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.