Kemaskini terakhir : 15/03/2019 3:18     

Ahli KWSP Diingatkan Tidak Terlibat Dengan Penipuan Pengeluaran

Perkenal Sistem Untuk Kesan Cubaan Menipu

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengulangi sekali lagi amaran tegas yang diberikan kepada ahli dan juga individu lain supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penipuan pengeluaran KWSP.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “KWSP amat komited dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pengeluaran yang akan mengurangkan simpanan persaraan ahli serta bertentangan dengan objektif KWSP.”

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

 

Dari Januari hingga Disember 2009, sebanyak 96 saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli KWSP kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran berkaitan perumahan, hilang upaya, pendidikan dan pekerja berpencen.

 

Pada tempoh yang sama, seramai 35 ahli KWSP telah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan menipu pengeluaran manakala baki 61 kes masih dalam tindakan mahkamah.

 

Di bawah Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Ahli yang gagal berbuat demikian akan kehilangan hak untuk membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

“Ahli diingatkan bahawa KWSP mempunyai proses dan sistem yang berupaya untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan penipuan pengeluaran,” kata Nik Affendi.

 

“Proses ini bukan sahaja dapat mengesan lebih awal cubaan menipu, malah ia memberikan panduan kepada pegawai KWSP untuk mengenalpasti kes penipuan dengan hanya menyemak borang permohonan dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh ahli. Pegawai KWSP dari semasa ke semasa juga dilengkapkan dengan maklumat terkini berkaitan dengan kes-kes penipuan terutama sekali modus operandi yang digunakan oleh ahli atau sindiket terbabit.”

 

Setiap permohonan pengeluaran yang diterima KWSP akan disemak secara terperinci dan disahkan dengan pihak-pihak berkenaan untuk menentukan kesahihannya. Sekiranya permohonan itu disahkan suatu penipuan, laporan polis akan dibuat dengan segera.

 

KWSP memberi amaran keras kepada ahli dan juga sindiket yang cuba memperdaya dan menipu pengeluaran KWSP bahawa mereka tidak akan terlepas dari tindakan. Walaupun mereka menjangka mereka sudah selamat, KWSP mempunyai cara tersendiri dalam mengesan kes-kes penipuan dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

 

“Tambahan pula, sistem yang dirangka berkemampuan mengesan ahli yang telah membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas pengeluaran dibuat. Mereka yang terlibat akan dilaporkan kepada polis dan akan menghadapi tindakan undang-undang yang tegas,” kata beliau.

 

Ahli KWSP digesa memainkan peranan mereka membantu membanteras aktiviti-aktiviti penipuan dengan menjauhi sindiket yang menawarkan perkhidmatan menipu pengeluaran dan melaporkan terus aktiviti tersebut kepada KWSP atau polis dengan segera.

 

“Ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP adalah dinasihati tidak menggunakan khidmat pihak ketiga sebaliknya terus dengan KWSP yang tidak mengenakan sebarang caj bagi perkhidmatan yang diberikan. Proses untuk membuat pengeluaran KWSP adalah mudah sekiranya semua syarat telah dipenuhi dan mengemukakan dokumen sokongan yang sah.

 

“Ahli diminta agar memberi sokongan dalam membanteras kegiatan penipuan pengeluaran. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Hotline Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.