Kemaskini terakhir : 15/03/2019 10:55     

Seorang Ahli Disabitkan Kesalahan Menipu Pengeluaran Pada S2 2013

Berikutan usaha berterusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membanteras aktiviti penipuan pengeluaran, hanya seorang ahli disabitkan kesalahan pada suku tahun kedua 2013 (S2 2013).

 

Ahli tersebut terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan telah disabit bersalah oleh mahkamah di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda RM1,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 14 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Aktiviti penipuan pengeluaran telah semakin berkurangan kesan daripada tindakan tegas diambil oleh KWSP terhadap ahli yang menipu pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka. Ini juga berkaitan dengan tahap kesedaran lebih baik di kalangan ahli tentang kepentingan simpanan KWSP untuk persaraan mereka.

 

“Sebarang cubaan oleh ahli untuk membuat pengeluaran secara tidak sah daripada simpanan mereka adalah bercanggah dengan tujuan menyimpan dengan KWSP; akhirnya mereka juga yang rugi.”

 

Dalam tempoh yang sama, sejumlah sembilan saman mahkamah telah difailkan berkaitan penipuan pengeluaran.

 

Penipuan pengeluaran melibatkan penghantaran dokumen palsu oleh ahli bagi memperoleh kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka sendiri. Di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali. 

 

“Untuk melindungi simpanan persaraan ahli, KWSP sentiasa memantau sebarang aktiviti penipuan di kalangan ahli. KWSP mempunyai sistem komprehensif yang berupaya untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang membuat penipuan pengeluaran walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan,” tambah beliau.

 

Sekiranya disabitkan kesalahan, ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan atau hanya memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Nik Affendi mengingatkan ahli yang layak membuat pengeluaran agar berurusan terus dengan KWSP tanpa perlu melalui pihak ketiga yang mungkin memperdayakan mereka kononnya membantu mengeluarkan simpanan KWSP.

 

“Proses membuat pengeluaran daripada KWSP adalah mudah sekiranya ahli memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tambahan pula, KWSP menawarkan perkhidmatan secara percuma.”

 

Ahli digesa memberikan sokongan terhadap KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan menipu boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.