KWSP SALURKAN RM132.41 BILION KEPADA PENGURUS PORTFOLIO LUARAN PADA TAHUN 2019
KUALA LUMPUR, 18 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak RM132.41 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2019, meningkat sebanyak 12.63 peratus berbanding RM117.56 bilion pada 2018. Jumlah ini dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 14.12 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Mengambilkira saiz keseluruhan portfolio pelaburan KWSP yang mencecah RM924.75 bilion pada penghujung tahun 2019, kerjasama dengan pengurus-pengurus portfolio luaran diteruskan bagi melaburkan sebahagian daripada dana KWSP untuk menjana pulangan yang setimpal. Kerjasama ini juga adalah sebagai salah satu usaha untuk mempelbagaikan serta meningkatkan prestasi aset kami.”
Sehubungan itu, bagi mengiktiraf prestasi cemerlang pengurus-pengurus portfolio luaran yang dilantik untuk menguruskan pelbagai mandat pelaburan KWSP, Anugerah Tahunan Pengurus Luaran 2020 telah menyaksikan 19 anugerah diberikan kepada pengurus luaran yang berprestasi tinggi pada tahun 2019.
"KWSP amat menghargai pengurus-pengurus portfolio kami, samada luaran mahupun dalam kalangan anggota KWSP. Fokus dan komitmen mereka ini telah memastikan prestasi baik dana yang diamanahkan kekal mampan," kata Tan Sri Ahmad Badri.
"Penghargaan khas perlu diberikan kepada pengurus-pengurus portfolio luaran yang cemerlang dan telah menyumbang kepada prestasi kukuh KWSP walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran pada tahun 2019," tambahnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 2019, KWSP telah mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional dan dividen sebanyak 5.00% bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.14 bilion.
“Dalam melaksanakan strategi pelaburan KWSP sepanjang tempoh ketidakpastian pasaran ini, jangkaan masa terdekat perlu diuruskan dengan baik kerana pandemik COVID-19 ini telah mengubah keseluruhan cara dunia beroperasi. Walau bagaimanapun, KWSP akan terus berusaha untuk mengekalkan pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka masa panjang, berdasarkan had risiko yang boleh diterima dan pada masa yang sama memelihara dan meningkatkan nilai modal simpanan ahli. Kami yakin bahawa pengurus-pengurus portfolio luaran yang dilantik akan membantu kami mencapai objektif ini,” jelas Tan Sri Ahmad Badri.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
18 Jun 2020
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
LAMPIRAN
Pemenang Mandat Ekuiti
Bil. |
Kategori |
Pemenang |
1 |
Best 3-Year ROI International Equity Fund Manager for FTSE Asean All Shares Ethical Index ex Malaysia 2019 |
Principal Asset ManagementBerhad |
2 |
Best 3-Year ROI International Equity Fund Manager for MSCI Ethical Asia (ex Japan ex Malaysia) 2019 |
Amundi Malaysia Sdn Bhd |
3 |
Best 3-Year ROI International Equity Fund Manager for MSCI Asia Shariah (ex Japan ex Malaysia) 2019 |
Amundi Aalam Sdn Bhd |
4 |
Best 3-Year ROI International Equity Fund Manager for FTSE Ethical World Developed 2019 |
BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd |
5 |
Best 3-Year ROI International Equity Fund Manager for FTSE Shariah World Developed 2019 |
Saturna Sdn Bhd |
6 |
Best 3-Year ROI Domestic Equity Fund Manager (Conventional) 2019 |
Affin Hwang Asset Management Berhad |
7 |
Best International Equity Fund Manager for FTSE Asean All Shares Ethical Index ex Malaysia 2019 |
Principal Asset Management Berhad |
8 |
Best International Equity Fund Manager for MSCI Ethical Asia (ex Japan ex Malaysia) 2019 |
Amundi Malaysia Sdn Bhd |
9 |
Best International Equity Fund Manager for MSCI Asia Shariah (ex Japan ex Malaysia) 2019 |
Amundi Aalam Sdn Bhd |
10 |
Best International Equity Fund Manager for FTSE Ethical World Developed 2019 |
BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd |
11 |
Best International Equity Fund Manager for FTSE Shariah World Developed 2019 |
Saturna Sdn Bhd |
12 |
Best Domestic Equity Fund Manager (Conventional) 2019 |
Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd |
Pemenang Mandat Pendapatan Tetap
Bil. |
Kategori |
Pemenang |
1 |
Best 3-Year ROI Domestic Fixed Income Fund Manager 2019 |
Affin Hwang Asset Management Berhad |
2 |
Best 3-Year ROI Domestic Sukuk Fund Manager 2019 |
Principal Islamic Asset Management Berhad |
3 |
Best Global Bond Fund Manager 2019 |
Affin Hwang Asset Management Berhad |
4 |
Best Global Sukuk Fund Manager 2019 |
AmIslamic Funds Management Sdn Bhd |
5 |
Best Global Emerging Market Debt Fund Manager 2019 |
Amundi Malaysia Sdn Bhd |
6 |
Best Domestic Fixed Income Fund Manager 2019 |
Affin Hwang Asset Management Berhad |
7 |
Best Domestic Sukuk Fund Manager 2019 |
Principal Islamic Asset Management Berhad |