Kemaskini terakhir : 11/03/2019 6:03     

KWSP Salurkan RM108 Bilion Kepada Pengurus Portfolio Luaran

Penghargaan kepada Pengurus Portfolio Cemerlang untuk 2016

 

KUALA LUMPUR, 12 Mei 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan bahawa pengurusan dana sebanyak RM108 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran sehingga 31 Disember 2016, peningkatan sebanyak 10.36 peratus berbanding RM97.86 bilion pada tahun 2015. Alokasi ini, yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 14.77 peratus dari keseluruhan aset pelaburan KWSP.

 

Berucap di Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2017, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Sebagai persediaan ke arah menjadi sebuah dana bernilai satu trilion ringgit, kami akan terus menggunakan khidmat pengurus portfolio luaran bagi pengurusan sebahagian dana kami sejajar dengan inisiatif diversifikasi yang diamalkan. Dengan ini, kami dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran pengurus dana luar, sekaligus melengkapi keupayaan pengurusan dana dalaman kami sendiri. 

 

“Kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pasaran yang dilabur, terutamanya dalam bidang aset alternatif dan infrastruktur. Walau bagaimanapun, mengambil kira ketidaktentuan pasaran semasa dan kelembapan pertumbuhan ekonomi, pengembangan pelaburan kami akan dijalankan secara berperingkat dan berhemah.”

 

KWSP kekal dengan objektif pelaburannya untuk mengisytiharkan dividen nominal tidak kurang dari 2.5 peratus setiap tahun, dan pulangan melebihi inflasi tidak kurang dari dua (2) peratus untuk tiga tahun berturut-turut. KWSP juga terus mengamalkan diversifikasi aset bagi mengurangkan risiko portfolio; serta merancang untuk meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif supaya mencecah 10 peratus daripada keseluruhan aset di bawah pengurusan.

 

Sebelum memperkenalkan Simpanan Shariah, aset patuh syariah telah pun merangkumi lebih kurang 45 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP. Kini, KWSP menjangkakan untuk meningkatkan pegangan aset patuh syariah pada kadar sekurang-kurangnya RM25 bilion setahun secara purata bagi memenuhi permintaan ahlinya.

 

“Persaingan bagi mendapatkan aset patuh syariah berkualiti tinggi adalah tidak terhad kepada pelabur dunia Islam sahaja, malah daya tarikannya sebagai kaedah pembiayaan alternatif yang beretika turut menarik perhatian pelbagai dana pencen Barat. KWSP memerlukan lebih banyak aset patuh syariah berkualiti, dan kami mengalu-alukan pengurus dana luaran supaya turut serta dalam usaha kami untuk mengembangkan mandat syariah kami,” kata Tan Sri Samsudin.

 

Sehubungan itu, KWSP telah memperkenalkan anugerah Pengurus Terbaik Portfolio Sukuk Domestik buat kali pertamanya, sebagai pengiktirafan kepada pengurus yang telah mencapai prestasi baik dalam menguruskan portfolio sukuk domestik KWSP yang semakin berkembang.

 

Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2017 turut menyaksikan 15 anugerah lain yang disampaikan kepada pengurus portfolio luaran berprestasi cemerlang. Senarai penerima anugerah boleh didapati di Lampiran 1.

 

Tujuan majlis anugerah tahunan ini diadakan adalah untuk mengiktiraf pengurus portfolio luaran yang telah mencatat prestasi cemerlang dalam menguruskan portfolio pelaburan KWSP. 

 

Untuk makluman, pada awal tahun ini KWSP telah menandatangani Kod Malaysia Bagi Pelabur-Pelabur Institusi, satu langkah signifikan yang menunjukkan komitmen KWSP dalam menggalakkan amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat yang kukuh di kalangan syarikat penerima pelaburannya. 

 

Selaras dengan itu, Tan Sri Samsudin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pengurus portfolio supaya memberi sokongan padu dan menggunakan pengaruh mereka secara positif dalam pembangunan korporat Malaysia, untuk memastikan amalan akauntabiliti dan ketelusan sentiasa didokong oleh syarikat penerima pelaburan.  

 

Pendedahan KWSP kepada pelaburan patuh syariah meliputi pelbagai kelas aset kini menjangkaui 40 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan. Setakat 31 Disember 2016, KWSP mencatatkan jumlah aset pelaburan sebanyak RM731.11 bilion, peningkatan 6.81 peratus berbanding RM684.53 bilion pada tahun 2015.

 

“KWSP menetapkan piawaian tinggi dalam penilaian prestasi pelaburan. Kami menghargai usaha pengurus dana luar kami yang telah pun menunjukkan komitmen sepenuhnya dalam menguruskan dana kami,” kata Tan Sri Samsudin.

 

Gambar: Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman (tengah) bersama pemenang Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran untuk tahun 2016 di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 11 Mei 2017.  Bersama beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan (lapan dari kanan), Timabalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif (sebelas dari kanan), Ketua Jabatan Ekuiti Domestik KWSP Zalinah A. Hamid (sebelas dari kiri), Ketua Jabatan Ekuiti Luar Negara Lim Tze Seong (enam dari kiri) dan Ketua Jabatan Pasaran Persendirian Mohamad Hafiz Kassim (lima dari kanan).

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

LAMPIRAN 1

SENARAI PEMENANG UNTUK MAJLIS ANUGERAH TAHUNAN PENGURUS PORTFOLIO LUARAN KWSP 2017

NO.

ANUGERAH

PEMENANG

1.

Best 3-Year ROI Domestic Fixed Income Portfolio Manager 2016

Libra Invest Berhad

2.

Best 3-Year ROI Domestic Sukuk Portfolio Manager 2016

Nomura Islamic Asset Management Sdn. Bhd.

3.

Best 3-Year ROI Global Bond Portfolio Manager 2016

Goldman Sachs (Malaysia) Sdn. Bhd.

4.

Best 3-Year ROI Global Sukuk Portfolio Manager 2016

CIMB Principal Islamic Asset Management Sdn. Bhd.

5.

Best 3-Year ROI Domestic Equity Portfolio Manager 2016

Aberdeen Asset Management Sdn. Bhd.

6.

Best 3-Year ROI International Equity Portfolio Manager for MSCI Ethical Asia (ex Japan ex Malaysia) 2016

BNP Paribas Investment Partners Malaysia Sdn. Bhd.

7.

Best 3-Year ROI International Equity Portfolio Manager for FTSE Ethical World Developed 2016

BNP Paribas Investment Partners Malaysia Sdn. Bhd.

8.

Best 3-Year ROI International Equity Portfolio Manager for FTSE Shariah World Developed 2016

Nomura Islamic Asset Management Sdn. Bhd.

9.

Best Domestic Fixed Income Portfolio Manager 2016

Libra Invest Berhad

10.

Best Domestic Sukuk Portfolio Manager 2016

Nomura Islamic Asset Management Sdn. Bhd.

11.

Best Global Bond Portfolio Manager 2016

CIMB Principal Asset Management Sdn. Bhd.

12.

Best Global Sukuk Portfolio Manager 2016

BNP Paribas Investment Partners Najmah Malaysia Sdn. Bhd.

13.

Best International Equity Portfolio Manager for MSCI Ethical  Asia (ex Japan ex Malaysia) 2016

BNP Paribas Investment Partners Malaysia Sdn. Bhd.

14.

Best International Equity Portfolio Manager for FTSE Ethical World Developed 2016

BNP Paribas Investment Partners Malaysia Sdn. Bhd.

15.

Best International Equity Portfolio Manager for FTSE Shariah World Developed 2016

Nomura Islamic Asset Management Sdn. Bhd.