Kemaskini terakhir : 08/11/2020 5:31     

WAKTU OPERASI KWSP PARIT BUNTAR DIKURANGKAN BERIKUTAN PKPB

KUALA LUMPUR, 8 November 2020: Pejabat dan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Parit Buntar, Perak akan beroperasi daripada 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja, bermula Isnin, 9 November 2020 sehingga dimaklumkan kelak. Ini berikutan pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan di daerah Parit Buntar yang berkuatkuasa bermula 7 November 2020.

Ahli-ahli yang telah membuat janji temu untuk berurusan dengan cawangan KWSP Parit Buntar di luar waktu operasi terkini diminta untuk menjadualkan semula melalui saluran Janji Temu Online www.kwsp.gov.my/janjitemu. Perkhidmatan yang disediakan di KWSP Parit Buntar adalah seperti biasa.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli, majikan, dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan SOP berikut di semua cawangan dan pejabatnya:

A. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online;

B. Para majikan disarankan untuk menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing untuk mendapatkan khidmat nasihat lanjut; dan

C. Ahli dan majikan disarankan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
8 November 2020
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.