Kemaskini terakhir : 11/03/2019 4:54     

KWSP Bekerjasama Dengan ITC-ILO Dalam Menubuhkan Pusat Latihan Keselamatan Sosial Serantau

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani satu perjanjian dengan Pusat Latihan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ITC-ILO) yang mana akan membuka peluang kerjasama dalam pembangunan dan pelaksanaan aktiviti latihan masa hadapan di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. 

 

Semasa merasmikan majlis, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Kami berbesar hati kerana ITC-ILO memilih KWSP dan Malaysia sebagai rakan kerjasama bagi memudahkan pembelajaran dan perkembangan ilmu dalam bidang keselamatan sosial dan isu-isu persaraan di rantau ASEAN. Di bawah kerjasama strategik ini, KWSP akan menyediakan infrastruktur pembelajaran bertaraf antarabangsa melalui Kampus Pembelajaran KWSP (ELC) di samping memberikan pemahaman mendalam mengenai rantau ini.

 

“Dengan kerjasama ini, yang bukan sahaja memberi peluang kepada kami memanfaatkan kepakaran global, ia juga satu inisiatif awal yang bakal mencetus pelbagai insiatif lain di masa depan dalam memacu agenda KWSP menangani isu penuaan masyarakat serta cabaran-cabaran yang diketengahkan oleh sektor ekonomi tidak formal. Kami berhasrat untuk memanfaatkan lebih banyak kerjasama seperti ini di masa akan datang sekaligus meletakkan Malaysia di atas peta dunia sebagai pusat kecemerlangan serantau keselamatan sosial.”

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP; Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi); Charles Crevier, Pegawai Program Kanan (Perlindungan Sosial, Tadbir Urus dan Tripartisme) ITC-ILO; dan Nuno Meira Simoes da Cunha, Pakar Teknikal Kanan Perlindungan Sosial ITC-ILO Bangkok.

 

ITC merupakan cabang latihan ILO, satu agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendokong keadilan sosial, termasuk hak asasi manusia dan piawaian buruh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Antara program yang akan ditawarkan di ELC termasuk penghijrahan buruh, dialog sosial, tripartisme dan undang-undang buruh, dan perlindungan sosial. Kumpulan sasaran yang dijangka mendapat manfaat daripada program-program akan datang termasuk badan-badan kerajaan, organisasi bukan kerajaan, agensi kebajikan sosial serta institusi-institusi penyelidikan dan akademik. 

 

KWSP mewujudkan kerjasama buat pertama kali dengan ITC-ILO pada Ogos 2016, melalui Kursus Eksekutif anjuran bersama yang bertajuk Designing and Extending the Social Protection System di Malaysia. Kursus tersebut telah dihadiri 60 perwakilan daripada Cambodia, Vietnam, Brunei, dan Malaysia.

 

Charles Crevier, Pegawai Program Kanan (Perlindungan Sosial, Tadbir Urus dan Tripartisme) ITC-ILO berkata, “Malaysia telah mengambil langkah besar dalam memajukan agenda keselamatan sosial, manakala KWSP konsisten dalam menyokong kewujudan sistem keselamatan sosial yang lebih meluas dan menyediakan liputan serta perlindungan kepada semua. Dengan ini kami berbangga untuk membawa hubungan kerja kami melangkaui satu tahap yang lebih tinggi, menerusi kerjasama dalam membentuk dan melaksanakan aktiviti latihan khususnya dalam bidang dasar perlindungan sosial.”

 

ITC-ILO ditubuhkan di Turin, Itali pada tahun tahun 1964 sebagai sebuah institut latihan vokasional, dan kini berkembang menyediakan latihan dalam perkhidmatan peringkat tinggi, serta menganjurkan lebih daripada 450 program dan projek yang dihadiri seramai 12,500 orang daripada 190 negara setiap tahun.

 

Untuk mengikuti program latihan akan datang bagi rantau Asia Tenggara yang dianjurkan di ELC, orang ramai boleh melayari laman web ITC-ILO di capaian: https://www.itcilo.org/en/training-offer/standard-courses.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Mengenai Pusat Latihan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ITC-ILO)

Pusat Latihan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ITC-ILO) di Turin merupakan badan latihan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Selaras dengan prinsip asas bagi kerjasama teknikal, ITC-ILO sejak tahun 1964 lagi telah menyediakan perkhidmatan yang memfokuskan kepada perkembangan sumber manusia dan pengukuhan keupayaan organisasi selaras dengan usaha ILO yang memperjuangkan pekerjaan yang baik untuk semua serta empat objektif strategik, iaitu (1) prinsip asas dan hak-hak di tempat kerja; (2) peluang pekerjaan dan pendapatan untuk wanita dan lelaki; (3) perlindungan sosial untuk semua; (4) tripartisme dan dialog sosial.