Kemaskini terakhir : 10/06/2019 4:53     

KWSP Bayar Dividen Sehingga Umur 100 Tahun

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan bahawa kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun yang kini sedang tersebar terutamanya melalui aplikasi mudah alih WhatsApp dan di laman media sosial yang lain adalah tidak terpakai.

 

Dalam satu kenyataan media bertarikh 3 November 2016, KWSP telah mengumumkan bahawa ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka di dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.

 

Berikutan pemindaan Akta KWSP 1991, penambahbaikan tersebut telah diperkenalkan bagi memastikan ahli yang memilih untuk berbuat demikian akan mendapat faedah daripada kesan berganda (compounding effect) melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat.

 

KWSP hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut pada umur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

 

KWSP menasihati ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial, dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut. Pengumuman rasmi KWSP akan disiarkan oleh media berita arus perdana. Untuk sebarang pertanyaan, ahli boleh layari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 19 Julai 2017