Kemaskini terakhir : 22/11/2018 1:54     

Masa Hadapan Positif Untuk Malaysia Selepas Peralihan Kerajaan Yang Lancar

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal optimistik mengenai ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang berikutan penubuhan Kerajaan baru pasca-PRU14. KWSP menjangkakan bahawa sebarang kemungkinan kejatuhan pasaran jangka pendek akan menyediakan peluang pelaburan yang lebih untuk pasaran domestik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “KWSP telah lama melabur di negara ini dan percaya bahawa asas ekonomi negara akan kekal kukuh. Ketidaktentuan jangka pendek adalah sesuatu yang dijangka memandangkan negara, buat pertama kalinya, mengalami peralihan kuasa. Namun proses peralihan kuasa yang lancar setakat ini berupaya meyakinkan pelabur akan kematangan demokrasi dan ekonomi Malaysia.”

 

Saranan Kerajaan baharu agar institusi tempatan terus meningkatkan penambahbaikan tadbir urus korporat, seiring dengan tahap kawal selia yang lebih tinggi  oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ini akan memberikan kesan yang baik kepada persekitaran perniagaan tempatan.

 

Datuk Shahril mengesahkan bahawa KWSP akan terus melabur berdasarkan prinsip pelaburan sedia ada dan parameter risiko yang ditetapkan.  KWSP sentiasa fokus dalam memberikan pulangan kepada ahlinya dua (2) peratus melebihi kadar inflasi dan strategi pelaburan yang sentiasa memfokuskan kepada aset dan syarikat yang boleh menepati objektif ini.

 

“Kami berasa sukacita kerana manifesto Kerajaan baharu ini secara tidak langsung menyokong visi KWSP untuk memberikan masa depan yang lebih baik untuk 13.7 juta ahli kami.  Kami mengalu-alukan fokus Kerajaan untuk terus memperbaiki rangka kerja gaji minimum serta menggalakkan simpanan secara sukarela terutamanya untuk golongan surirumah.”

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.