Kemaskini terakhir : 06/04/2020 6:09     

KWSP MENYEDIAKAN KHIDMAT RUNDINGAN CARUMAN SYER MAJIKAN BAGI MEMBANTU PERNIAGAAN TERJEJAS

Pelan Bersesuaian Termasuk Kemungkinan Menstruktur Semula Caruman Berkanun Syer Majikan


KUALA LUMPUR, 27 Mac 2020:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Khidmat Rundingan Majikan (EAS) bermula 15 April 2020 untuk memberikan khidmat rundingan kepada majikan, terutamanya berkenaan caruman syer majikan dalam keadaan ekonomi semasa.


Langkah ini bertujuan membantu majikan kekal beroperasi untuk meneruskan kesinambungan pekerjaan dan memelihara kelangsungan hidup pekerja mereka. Di samping itu, ia dapat membantu majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menstabilkan aliran wang tunai mereka walaupun berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19. Lebih penting lagi, EAS bertujuan membantu mereka memenuhi kewajipan dalam membuat bayaran caruman syer majikan KWSP.


Melalui EAS, KWSP akan membuat penilaian semula ke atas syarat-syarat tertentu untuk syarikat-syarikat yang terjejas dan menawarkan pelan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan Caruman Berkanun Syer Majikan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991. Langkah-langkah ini boleh merangkumi penstrukturan semula jadual caruman atau merangka semula jadual pembayaran caruman yang tertunggak.


Inisiatif EAS ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 480,000 PKS serta memastikan kesinambungan pekerjaan bagi 7.6 juta pekerja. Perkhidmatan ini akan diperluaskan untuk merangkumi khidmat rundingan berkaitan perniagaan dan majikan yang lebih komprehensif pada masa akan datang.


Maklumat lanjut mengenai EAS akan disiarkan di laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) dalam masa yang terdekat.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

27 Mac 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.