Kemaskini terakhir : 13/06/2020 11:30     

KWSP CATAT RM12.16 BILION PENDAPATAN PELABURAN KASAR UNTUK S1 2020

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencatat jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2020, semasa cabaran pandemik global COVID-19. 

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias  berkata, “Pandemik ini telah memberikan impak besar ke atas dunia yang tidak bersedia menghadapinya. Ini telah mengakibatkan perubahan mendalam kepada kehidupan seharian serta menyebabkan kemelesetan ekonomi yang luar jangkaan. Lebih-lebih lagi kerana ianya berlaku dalam persekitaran global yang sememangnya lemah akibat kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran yang didorong oleh isu geopolitik yang masih berterusan sejak 2019.” 

“Semua pasaran domestik dan global terjejas teruk, terutamanya pasaran ekuiti yang mengalami penurunan yang ketara, dengan kejatuhan pasaran global sehingga 32%, manakala prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI telah jatuh 15% sehingga 31 Mac 2020. Selain itu, kebanyakan bank-bank pusat sedunia memperkenalkan pelbagai dasar monetari bagi membantu isi rumah dan peniaga, mengakibatkan penurunan kadar faedah yang mengurangkan hasil daripada pelaburan dalam aset pendapatan tetap. Prestasi pelaburan KWSP juga tidak terkecuali daripada impak COVID-19 dan mencatatkan penurunan pendapatan pada masa yang sama.”

Instrumen pendapatan tetap telah menyumbang RM4.87 bilion kepada pendapatan kasar. Sektor hartanah dan infrastruktur, dan instrumen pasaran wang pula masing-masing telah menyumbang RM0.43 bilion dan RM0.54 bilion, manakala ekuiti pula mencatatkan RM6.32 bilion, yang mewakili 52% daripada jumlah pendapatan kasar. Pendapatan pelaburan bersih yang dicatatkan adalah sebanyak RM7.50 bilion setelah mengambil kira penghapusan ke atas nilai ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Pemulihan berwaspada dalam norma baharu 
“Walaupun ketidaktentuan pasaran dijangka akan berterusan, KWSP telah melihat beberapa pemulihan dalam pelbagai pasaran dunia sejak bulan April. Berikutan pelaksanaan rancangan yang agresif oleh ekonomi-ekonomi besar untuk menangani impak virus tersebut dan memulakan langkah pemulihan ekonomi selepas COVID-19, kami berharap sentimen pasaran akan terus beransur pulih.”

“Walau bagaimanapun, sebagai dana simpanan jangka masa panjang dengan pelaburan di serata dunia, KWSP mengamalkan sistem penilaian dan pengurusan yang tegas dalam membuat sebarang keputusan pelaburan, yang berpandukan strategi jangka masa panjang bagi memastikan kami sentiasa berwaspada dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru mengikuti pergerakan pasaran semasa. Oleh itu, KWSP berada dalam kedudukan yang lebih baik menghadapi ketidaktentuan pasaran dan berpeluang menambah pelaburan dalam aset-aset yang kukuh,” kata Alizakri.

Beliau menambah bahawa dalam keadaan ini, KWSP semakin mengambil manfaat daripada pelaburan yang berterusan dalam pasaran luar negara, yang merangkumi 28.8% daripada keseluruhan jumlah pelaburan aset KWSP.

Berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), prestasi KWSP berjaya mengatasi kebanyakan dana ekuiti lain walaupun dalam keadaan kemerosotan pasaran, sementara tumpuan pelabur-pelabur kepada aset yang lebih stabil seperti bon telah meningkatkan pulangan daripada aset pendapatan tetap KWSP dan seterusnya mengurangkan impak daripada penurunan harga ekuiti. 

SAA KWSP memperuntukkan 54% kepada Instrumen Pendapatan Tetap, 36% kepada Ekuiti, 6% kepada Hartanah dan Infrastruktur dan 4% kepada Instrumen Pasaran Wang. Ini mencerminkan matlamat jangka panjang KWSP dalam memastikan pelaburan berhemah dan berdisiplin menhadapi pergerakan pasaran yang tidak menentu. 

Mencapai keseimbangan antara kepentingan jangka panjang dan keperluan jangka pendek ahli  
KWSP telah segera membuat penyesuaian ke atas perkhidmatan dan produknya bagi mengimbangi keperluan aliran tunai semasa ahli-ahli KWSP dalam menghadapi cabaran yang disebabkan oleh pandemik ini, di samping memenuhi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan mereka pada masa hadapan. 

Pada bulan Mac, KWSP telah menurunkan kadar caruman berkanun pekerja daripada 11% kepada 7% untuk membantu pendapatan boleh-guna bulanan ahli. Sebagai tindak balas kepada keperluan aliran tunai ahli-ahli semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KWSP juga telah memberikan pilihan untuk mengeluarkan sebahagian daripada dana persaraan di dalam Akaun 2 mereka melalui kemudahan Pengeluaran i-Lestari. Sehingga 5 Jun 2020, sebanyak 4.1 juta permohonan telah dibuat dengan jumlah pengeluaran bernilai RM1.94 bilion.

KWSP juga memahami keperluan terdesak majikan dalam menguruskan aliran tunai semasa berikutan pelaksanaan PKP. Untuk menangani masaalah ini, KWSP telah melancarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) pada bulan April untuk membolehkan majikan menangguh dan menstruktur semula caruman syer majikan kepada simpanan KWSP pekerja. Setakat 5 Jun 2020, KWSP telah meluluskan sebanyak 6,500 permohonan majikan yang bernilai RM42.9 juta. 

Alizakri berkata, “Inisiatif-inisiatif ini dilancarkan kerana kami memahami cabaran yang dihadapi oleh ahli kami, berdepan dengan kemungkinan hilang kerja dan mata pencarian mereka, terutamanya semasa tempoh kuarantin dan dalam keadaan ekonomi yang lembap.”

“Pencapaian suku pertama menggambarkan dunia dan gaya hidup yang kini telah mengalami perubahan. Di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik ini dan keadaan ekonomi yang merudum, kami masih yakin bahawa keadaan ini akan kembali pulih dan stabil semula. Namun, pengajaran serta pengalaman akibat daripadanya harus dihayati supaya kita dapat menyesuaikan diri sewajarnya. Dengan keadaan sebegini, kita juga patut memanfaatkan pelbagai peluang yang muncul berikutan krisis COVID-19 ini. Kita perlu merancang semula infrastruktur global serta model ekonomi dan model sosial negara untuk mencapai masa depan yang lebih baik,” menurut Alizakri ketika beliau membuat kesimpulan. 

--- kenyataan tamat ---

 

Prestasi S1 2020 KWSP

Portfolio

% Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset

Pendapatan pelaburan kasar (RM bilion)

 % keuntungan

Ekuiti

36

6.32

52

Instrumen Pendapatan Tetap*

54

4.87

40

Instrumen Pasaran Wang

4

0.43

4

Hartanah & Infrastruktur

6

0.54

4

Jumlah

100

12.16

100

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

13 Jun 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.