Kemaskini terakhir : 11/03/2019 5:42     

KWSP Catat Peningkatan Bayaran Caruman Secara Dalam Talian Untuk S1 2017

Kepelbagaian platform perkhidmatan elektronik berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap kaunter perkhidmatan

 

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan bahawa usaha untuk mengurangkan transaksi manual majikan telah membuahkan hasil apabila seramai 426,675 majikan telah mengemukakan Borang A melalui kemudahan e-Caruman dalam suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2017 (S1 2017), yang melibatkan jumlah caruman sebanyak RM5.24 bilion. Daripada jumlah tersebut, seramai 132,708 majikan telah membuat bayaran caruman berjumlah RM2.14 bilion secara dalam talian.

 

Semasa mengumumkan prestasi S1 2017 Operasi, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Portal e-Caruman direka untuk memproses jumlah data yang tinggi dan dilengkapi dengan sistem FPX yang turut membolehkan majikan membuat pendebitan masa nyata (‘real-time’) bagi bayaran caruman tanpa sebarang kos transaksi.

 

“Bagi memudahkan dan membolehkan pemprosesan transaksi masa nyata yang melibatkan maklumat caruman pekerja dengan lebih cekap dan selamat, KWSP telah berhenti mencetak dan menghantar Borang A secara manual kepada majikan berkuatkuasa 1 Januari 2017.”

 

Beliau menambah bahawa peningkatan dalam jumlah pendaftaran ahli baru setiap suku menjadi asas kepada majikan untuk memanfaatkan kemudahan e-Caruman dalam melaksanakan tanggungjawab bulanan mereka. Jumlah ahli KWSP meningkat 1.54 peratus dari 14.69 juta dalam S1 2016 kepada 14.91 juta dalam S1 2017, di mana 6.92 juta, atau 46.40 peratus, adalah ahli aktif.  Jumlah pendaftaran ahli baru pula meningkat 3.54 peratus kepada 153,844 pada S1 2017, manakala jumlah pendaftaran majikan baru merekodkan penurunan kecil sebanyak 0.06 peratus dari 16,256 majikan dalam S1 2016 kepada 16,246 dalam S1 2017.

 

Dalam suku tahun yang dikaji turut menyaksikan kenaikan ketara bagi platform elektronik KWSP yang lain. Jumlah penggunaan i-Akaun meningkat 31.35 peratus dari 4.70 juta dalam S1 2016 kepada 6.16 juta berakhir 31 Mac 2017, manakala jumlah pelawat ke portal myEPF dalam suku tahun yang dikaji meningkat 4.63 peratus kepada 6.71 juta dalam S1 2017 dari 6.41 juta dalam suku tahun yang sama tahun lepas.  Penggunaan Kios KWSP meningkat 9.19 peratus dari 3.63 juta dalam S1 2016 kepada 3.96 juta dalam S1 2017.

 

Tawaran perkhidmatan elektronik yang pelbagai telah menyumbang kepada penurunan sebanyak 20.25 peratus jumlah pelawat ke kaunter perkhidmatan KWSP di seluruh negara dari 1.17 juta dalam S1 2016 kepada 929,729 dalam S1 2017.

 

“Penurunan jumlah pelawat ke kaunter dengan peningkatan jumlah pengguna perkhidmatan elektronik dalam tempoh yang sama telah membuktikan kejayaan perkhidmatan elektronik dalam memberikan lebih keselesaan kepada ahli ketika membuat transaksi dengan kami.  Kami akan terus aktif dalam mengenalpasti kaedah terkini untuk menambahbaik perkhidmatan dalam talian kami dan melabur dalam teknologi yang boleh membantu mengurangkan kos operasi kami,” ulas Datuk Shahril.

 

Laporan S1 2017 Operasi juga merekodkan seramai 36,707 ahli, bersamaan dengan RM2.67 bilion alokasi, telah beralih dari Simpanan Konvensional ke Simpanan Shariah, seterusnya meningkatkan jumlah ahli yang telah bertukar ke Simpanan Shariah kepada 671,744 dari tarikh tutup Simpanan Shariah 2017 pada 23 Disember 2016. Pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berterusan, oleh itu, ahli yang ingin melayakkan diri untuk Simpanan Shariah bagi sesi bermula 1 Januari 2018 boleh mendaftar sebelum 24 Disember 2017.

 

Jumlah caruman diterima berakhir 31 Mac 2017 meningkat 2.97 peratus kepada RM17.36 bilion dari RM16.86 bilion dalam S1 2016, membawa jumlah caruman ahli terkumpul kepada RM708.14 bilion. 

 

Dalam suku tahun yang dikaji juga, KWSP buat pertama kalinya melaporkan jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Umur 60 Tahun.  Skim pengeluaran ini, yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2017, menyaksikan sebanyak 17,929 permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun yang berjumlah RM461.07 juta dan 28,627 permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun (RM873.89 juta).

 

Datuk Shahril berkata skim Pengeluaran Umur 60 Tahun ini, yang juga dikenali sebagai Akaun Emas, diwujudkan sebagai tabung simpanan persaraan kedua untuk ahli yang terus bekerja selepas umur 55 tahun di mana semua caruman baru diterima selepas umur 55 tahun akan dimasukkan secara automatik ke dalam Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan setelah ahli mencapai umur 60 tahun.  Tiada perubahan kepada Pengeluaran Umur 55 Tahun semasa.

 

“Seperti Pengeluaran Umur 55 Tahun, Pengeluaran Umur 60 Tahun ini membenarkan ahli untuk membuat pengeluaran penuh atau fleksibel, walaupun kami menggalakkan ahli untuk memilih pengeluaran fleksibel supaya baki simpanan yang masih kekal dalam akaun KWSP akan terus menerima dividen tahunan,” kata beliau.

 

Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun dalam S1 2017 menurun 38.61 peratus kepada 55,925 dari 91,099 permohonan diluluskan dalam suku tahun yang sama pada 2016.  Jumlah yang dikeluarkan di bawah skim tersebut adalah RM2.21 bilion berbanding RM3.03 bilion dalam 2016 (S4 2016: 98,644; RM2.96 bilion). Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam suku tahun yang dikaji merekodkan kejatuhan sebanyak 18.86 peratus kepada 49,371 (RM3.30 bilion) dari 60,844 (RM3.35 bilion) dalam suku tahun yang sama tahun lepas (S4 2016: 56,218; RM2.85 bilion).

 

Kadar majikan tidak mencarum sehingga akhir Mac 2017 adalah stabil pada 1.09 peratus, membuktikan kecekapan KWSP dalam mengambil tindakan serta kesedaran tinggi di kalangan majikan terhadap kesejahteraan persaraan pekerja mereka.

 

Ahli digalakkan supaya berkunjung ke kaunter Khidmat Nasihat Persaraan KWSP, terutama sebelum membuat keputusan untuk membuat sebarang pengeluaran, supaya dapat mengetahui tentang pilihan lain yang boleh dibuat serta bagaimana ahli boleh memanjangkan tempoh simpanan KWSP untuk masa depan persaraan yang lebih mampan. Ahli juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan perbualan dalam talian tidak sahih mengenai KWSP dan sebaliknya mengambil tindakan mengesahkan maklumat tersebut dengan KWSP terlebih dahulu.

 

Ahli yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan KWSP boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my, atau berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP seluruh negara.  

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.