Kemaskini terakhir : 11/03/2019 5:36     

KWSP Catat Pendapatan RM11.79 Bilion Untuk S1 2017

Peningkatan ketara hasil daripada pemulihan pasaran

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.79 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2017 (S1 2017), peningkatan 73.9 peratus berbanding RM6.78 bilion dalam S1 2016.

 

Mengulas tentang prestasi S1 2017 Pelaburan KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Kedua-dua pasaran domestik dan global menunjukkan peningkatan ketara berbanding suku tahun pertama tahun lepas. FBM KLCI meningkat enam (6) peratus didorong oleh pertumbuhan dalam sektor perbankan, manakala indeks global pula meningkat sehingga 12 peratus, satu perbezaan yang nyata berbanding dengan persekitaran pasaran tahun lepas. Keadaan pasaran yang positif ini memudahkan aktiviti pengambilan untung yang mendorong kepada pendapatan pelaburan kasar yang lebih tinggi pada S1 2017 dan rugi terjejas bersih yang lebih rendah.”  

 

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP mencatatkan rugi terjejas bersih lebih rendah tahun ini, dari RM1.64 bilion kepada RM775.92 juta, iaitu penurunan sebanyak RM865.08 juta berikutan peningkatan di kesemua pasaran utama.

 

Nilai aset pelaburan KWSP cecah RM747.17 bilion, naik 2.20 peratus atau RM16.06 bilion daripada 31 Disember 2016. Daripada jumlah aset pelaburan tersebut, sebanyak RM352.73 bilion, atau 47.2 peratus, dilaburkan dalam aset patuh Syariah, manakala selebihnya dilaburkan dalam aset bukan patuh Syariah. 

 

“Walaupun suku tahun pertama KWSP menunjukkan prestasi yang menggalakkan, kami tetap mengambil langkah waspada memandangkan pemulihan harga komoditi kekal lemah dan ketidaktentuan mata wang yang masih berterusan,” kata Datuk Shahril.

 

Dalam S1 2017, pelaburan Ekuiti, yang merangkumi 41.76 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang RM7.10 bilion, seterusnya mewakili 60.2 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji. Peningkatan ini adalah 178.6 peratus lebih tinggi daripada RM2.55 bilion yang dicatat dalam suku tahun yang sama pada 2016. Pemulihan dalam sektor perbankan turut menyumbang kepada lebih kurang 30 peratus daripada pendapatan urusniaga dan dividen pada suku tahun berkenaan.

 

“Selain peningkatan dalam pasaran ekuiti domestik, pasaran global juga terus menyediakan peluang kepada KWSP untuk mengambil keuntungan walaupun terus berhadapan dengan ketidaktentuan disebabkan oleh pilihanraya di negara-negara anggota eurozone, akta penjagaan kesihatan Presiden Trump, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan rundingan sekitar Brexit. Kesan dari faktor-faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran ini dikurangkan oleh data ekonomi yang positif, termasuk semakan semula terhadap ramalan pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama.”

 

Pelaburan luar negara KWSP merangkumi 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan dan telah menyumbang 37 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan dalam S1 2017.

 

Setakat Mac 2017, sebanyak 49.08 peratus dari jumlah aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan konsisten. Suku tahun pertama menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatat pendapatan RM4.07 bilion, iaitu 34.6 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

 

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) & Bon Setaraf dalam S1 2017 meningkat 3.67 peratus, atau RM68.56 juta, kepada RM1.94 bilion daripada RM1.87 bilion dalam S1 2016. Sementara itu, Pinjaman & Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.14 bilion berbanding RM1.87 bilion dalam S1 2016.

 

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah & Infrastruktur, yang mewakili 5.04 peratus dan 4.11 peratus dari jumlah aset pelaburan, masing-masing menyumbang RM372.79 juta dan RM246.27 juta dalam S1 2017.

 

Berikutan pelaksanaan Simpanan Shariah bermula 1 Januari 2017, sebanyak RM952.10 juta daripada pendapatan pelaburan kasar RM11.79 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM10.84 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya daripada bahagian aset patuh Syariah, manakala Simpanan Konvensional memperoleh pendapatan dari bahagian aset patuh Syariah dan aset bukan patuh Syariah.

 

Datuk Shahril berkata prestasi Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional adalah tertakluk kepada prestasi pasaran, menjadikan jurang perbezaan jangka pendek antara kedua-dua akaun tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dalam jangka masa panjang, prestasi antara kedua-dua akaun adalah sama kerana strategi pelaburan yang dilaksanakan adalah sama bagi kedua-dua akaun.

 

Beliau menambah bahawa KWSP akan tetap fokus dalam mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang dari dua (2) peratus selepas inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional. 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.