Kemaskini terakhir : 11/09/2019 3:42     

KWSP Catat Pendapatan RM12.32 Bilion Untuk S2 2019

KUALA LUMPUR, 6 September 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM12.32 bilion untuk suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2019 (S2 2019), kurang RM0.07 bilion daripada RM12.39 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif menerangkan bahawa penurunan pendapatan pada suku tahun ini adalah disebabkan oleh prestasi lemah pasaran saham Malaysia (-1.1% dalam S2 2019 berbanding suku tahun sama tahun lepas), yang menghasilkan catatan pendapatan portfolio ekuiti domestik KWSP sebanyak RM1.51 bilion.  

Walau bagaimanapun, kebanyakan pasaran ekuiti global menyaksikan pemulihan daripada paras penurunan yang dialami semasa S4 2018, sebahagiannya  atas tanda-tanda kemajuan dalam rundingan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, yang menstabilkan sumbangan pendapatan oleh ekuiti global. Namun, kebanyakan pasaran utama pula, tidak termasuk AS, kekal rendah berbanding catatan tertinggi pada 2018; ditambah dengan suasana perdagangan yang sukar pada S2 2019.
 
“Kelebihan mempunyai portfolio pelbagai ialah pendapatan yang disumbang melalui pelaburan aset luar negara boleh membantu mengurangkan tekanan kejatuhan pendapatan portfolio ekuiti domestik. Bagi kami di KWSP, ketidaktentuan jangka pendek memberikan peluang untuk membeli aset berkualiti bagi mengukuhkan portfolio jangka panjang,” tambah Dato’ Mohamad Nasir.

Ekuiti, yang merangkumi 39.2% daripada jumlah aset pelaburan KWSP, kekal sebagai penyumbang utama sebanyak RM6.33 bilion, iaitu 51.4% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan pada S2 2019.

Sebanyak 50.6% daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, yang kekal menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan konsisten, dengan menjana pendapatan sebanyak RM5.12 bilion, iaitu 41.6% daripada pendapatan pelaburan suku tahun. Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan & Bon Sama Taraf untuk S2 2019 mencecah RM2.69 bilion, manakala Bon dan Pinjaman mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM2.43 bilion. 

Dalam suku tahun ini, Hartanah dan Infrastruktur, yang mewakili 4.9% daripada jumlah aset pelaburan, mencatat RM0.46 bilion pendapatan pelaburan.  Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 5.3% daripada aset pelaburan, menyumbang RM0.41 bilion.

Sebanyak RM0.89 bilion daripada RM12.32 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Shariah, dan RM11.43 bilion untuk Simpanan Konvensional.  Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Shariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Shariah dan portfolio konvensional.

Mengulas prospek untuk suku tahun seterusnya untuk tahun ini, Dato’ Mohamad Nasir berkata, “Kami merasakan keadaan pasaran sehingga hujung tahun ini akan menjadi lebih mencabar dan tidak menentu.  Terdapat pelbagai ketidakpastian, terutamanya sekitar Brexit, konflik dagangan antara AS dan China, serta peningkatan amalan dasar perlindungan di negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.  Kami juga memerhati dengan teliti kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi dan risiko kemelesetan beberapa ekonomi utama yang dipercayai akan memberi kesan kepada pertumbuhan global. 

“Keadaan pasaran di Malaysia kekal mencabar untuk jangka pendek, namun menyediakan peluang pembelian untuk dana jangka panjang seperti kami.  Sehingga hujung tahun ini, kami percaya keadaan akan menjadi lebih sukar untuk kami mengekalkan momentum setengah tahun pertama, melihat kepada kemunculan trend yang membimbangkan berdasarkan pelbagai indikasi global. Walau bagaimanapun, kami yakin dengan keupayaan kami untuk memberikan pulangan melebihi inflasi, seterusnya memenuhi objektif kami untuk memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli kami untuk jangka masa panjang.”
 

Pelaburan-Pendapatan

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.