Kemaskini terakhir : 12/02/2019 2:29     

KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM9.66 Bilion Untuk S1 2019

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM9.66 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2019 (S1 2019), rendah daripada RM12.88 bilion yang direkodkan dalam suku tahun yang sama tahun lepas. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan) Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif berkata dalam keadaan ekonomi dan pasaran dunia dan domestik semasa, prestasi yang dicatatkan KWSP adalah baik. 

 

Dalam S1 2019, Ekuiti, yang merangkumi 39% daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP, terus menjadi penyumbang utama pendapatan sebanyak RM4.16 bilion, iaitu 43% daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tahun ini.

 

Dato’ Mohamad Nasir menerangkan bahawa turun naik pasaran kelas aset ekuiti serta impaknya ke atas pendapatan telah disokong oleh kumpulan aset KWSP lain yang lebih stabil seperti pendapatan tetap. 

 

“Walaupun ekuiti bersifat turun naik, ia mempunyai potensi untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka panjang. Ekuiti akan sentiasa memainkan peranan penting dalam meningkatkan pulangan dan memastikan kami berupaya memberikan dividen sekurang-kurangnya 2% melebihi kadar inflasi.” 

 

Sebanyak 50% pelaburan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, yang terus menyumbang pendapatan yang stabil dan konsisten.  Suku tahun pertama menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.85 bilion, iaitu 50% daripada pendapatan pelaburan suku tahun.  Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf dalam S1 2019 adalah sebanyak RM2.52 bilion, manakala Pinjaman dan Bon menjana sebanyak RM2.33 bilion pendapatan pelaburan.

 


Dalam suku tahun yang dikaji, Hartanah dan Infrastruktur merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM171.60 juta.  Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 6% daripada keseluruhan aset pelaburan, menyumbang RM469.86 juta kepada pendapatan pelaburan. Pelaburan dalam kelas aset ini, yang termasuk deposit tetap dan deposit berjangka, berperanan penting dalam memenuhi keperluan kecairan jangka pendek KWSP.  

 

Sebanyak RM0.90 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM9.66 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM8.76 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional.

 

Mengulas prospek untuk tahun ini, Dato’ Mohamad Nasir berkata, “Kami menjangkakan pasaran global akan kekal tidak menentu berikutan sentimen yang didorong oleh perang dagang antara AS dan China yang semakin meruncing.  Risiko geo-politik dan ketidaktentuan berikutan hala tuju polisi bank-bank utama akan memberikan tekanan lebih ke atas ekonomi dunia dalam beberapa bulan akan datang.

 

“Seperti perniagaan yang lain, pelaburan KWSP akan terkesan oleh risiko-risiko ini. Walau bagaimanapun, kami mempunyai Alokasi Aset Strategik sebagai panduan.  Kami akan memberi tumpuan dalam memenuhi 10% peruntukan untuk pelaburan Hartanah dan Infrastruktur sebagai antara pelan diversifikasi kami serta menyalurkan lebih banyak tunai ke dalam aset alternatif untuk meningkatkan pulangan.”

 

Beliau menambah bahawa tindakan Bank Negara untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka akan memberikan impak positif kepada ekonomi dan membantu mengurangkan sebarang kemerosotan ekonomi.

 

“Kami optimistik dalam memberikan dividen sebenar tidak kurang daripada 2% untuk tiga tahun berturut-turut.  Kemerosotan ekonomi mempunyai kelebihannya kerana ia memberi peluang kepada kami untuk membeli saham kukuh pada harga yang lebih menarik.”
 

 

Pelaburan-Pendapatan

Pelaburan-Aset

Pelaburan-Carta Aset

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.