Kemaskini terakhir : 12/02/2019 2:29     

KWSP Catat Pendapatan RM12.39 Bilion Untuk S2 2018

Pendapatan terus meningkat walaupun pada kadar lebih perlahan

 

KUALA LUMPUR, 5 September 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan peningkatan pendapatan pelaburan kepada RM12.39 bilion dalam suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2018 (S2 2018), naik sebanyak 7.64 peratus daripada RM11.51 bilion untuk tempoh yang sama tahun lepas.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan) Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Perang Dagang Amerika Syarikat-China yang semakin tegang dan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat telah menyumbang kepada aliran keluar modal dari pasaran baru muncul, termasuk Malaysia. Ini menyebabkan persekitaran perdagangan pasaran tempatan menjadi kurang memberangsangkan.

 

“Semasa pasaran maju seperti Amerika Syarikat dan negara Eurozone mencatat keuntungan dalam pasaran ekuiti mereka, pasaran baru muncul, termasuk Asia, pula mencatatkan pulangan negatif. Memandangkan ASEAN adalah antara yang mencatatkan prestasi terburuk, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kemerosotan pasaran. Walau bagaimanapun, langkah diversifikasi ke dalam pelbagai pasaran dan sektor membolehkan KWSP untuk merekodkan pencapaian konsisten di mana ekuiti muncul sebagai penyumbang utama pendapatan dalam suku tahun kedua.”

 

Dalam S2 2018, Ekuiti, yang merangkumi 40.61 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, menyumbang RM7.98 bilion, mewakili 64.44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun tersebut.

 

Sebanyak 52.09 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan yang konsisten dan stabil. Suku tahun kedua menyaksikan instrumen pendapatan tetap mencatatkan pendapatan RM4.09 bilion, bersamaan dengan 33.07 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan.

 

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.40 bilion dalam S2 2018, manakala Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM1.70 bilion.

 

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 2.53 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang RM215.44 juta kepada pendapatan pelaburan.

 

Dalam suku tahun yang dikaji, Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM91.73 juta. Kelas aset ini memberikan pulangan lindung nilai inflasi dan dijangka akan menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam akhir tahun ini. 

 

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM3.79 bilion untuk S2 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya. Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya.

 

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM813.18 bilion, naik 0.38 peratus atau RM3.05 bilion daripada kedudukan 31 Disember 2017, tetapi mangalami penurunan kecil dari suku tahun pertama 2018 akibat kejatuhan pasaran ekuiti. Walaupun mengalami penurunan suku tahunan, kedudukan aset KWSP kekal sihat berbanding baki simpanan ahli yang berjumlah RM780.07 bilion. Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, sebanyak RM322.89 bilion, atau 39.71 peratus, dilaburkan dalam portfolio Syariah manakala selebihnya dalam portfolio konvensional. 

 

Sebanyak RM1.09 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.39 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM11.30 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional.

 

Setakat akhir Jun 2018, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 26.50 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, telah menyumbang 38.30 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji.

 

Mengulas prospek untuk separuh tahun kedua, Dato’ Mohamad Nasir berkata, “Ketidaktentuan pasaran global terus menyelubungi prospek sepanjang tahun berikutan risiko politik dan perubahan dasar yang berterusan seperti perubahan yang bakal berlaku ke atas dasar monetari, ketidaktentuan keputusan Brexit serta ketegangan perdagangan yang berterusan antara negara-negara perdagangan utama.   

 

“Dari segi domestik, prospek dijangka akan menjadi lebih baik berikutan pengurangan aliran keluar dana dan hala tuju dasar yang lebih jelas daripada Kerajaan baru. KWSP kekal fokus dalam memberikan pulangan melebihi kadar inflasi, sekurang-kurangnya dua (2) peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut bagi melindungi dan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli kami.”

 

Statistiks S2 2018 (Pelaburan) Pendapatan

Statistiks S2 2018 (Pelaburan) Carta Aset

Statistiks S2 2018 (Pelaburan) Jadual Aset

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.