Kemaskini terakhir : 12/02/2019 2:29     

KWSP Catat Pendapatan RM14.61 Bilion Untuk S3 2018

Berhadapan cabaran untuk kekalkan momentum sepanjang suku tahun ke-4

 

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM14.61 bilion untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2018 (S3 2018), naik 12.82 peratus daripada RM12.95 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “S3 2018 menyaksikan kami menempuhi persekitaran pasaran yang tidak menentu didorong oleh ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, kami berupaya mencatat peningkatan pendapatan hasil daripada pemulihan pasaran ekuiti Malaysia dan ASEAN dalam S3 2018 berbanding kemerosotan yang dialami sepanjang suku tahun sebelumnya, manakala ekuiti pasaran maju terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding suku tahun sebelumnya. 

 

“Ketidaktentuan semakin terasa di rantau ini dan telah menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku tahun keempat 2018. Ini pastinya akan memberi cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan yang sama untuk suku tahun keempat.”

 

Dalam S3 2018, Ekuiti, yang merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, terus menjadi penjana pendapatan utama dengan menyumbang RM8.89 bilion, atau 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan untuk suku tahun tersebut. Pendapatan dividen telah meningkatkan prestasi portfolio ekuiti domestik pada suku tahun yang sama.

 

Sebanyak 50.72 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menjana pendapatan konsisten dan stabil, serta mengurangkan risiko keseluruhan dan melindungi ketidakstabilan portfolio KWSP, selaras dengan fungsi KWSP sebagai dana seimbang. Pada suku tahun ketiga, pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.73 bilion, atau 32.40 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun ketiga. Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf dalam S3 2018 meningkat kepada RM2.50 bilion, manakala Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.24 bilion.

 

Sepanjang suku tahun yang dikaji, Hartanah dan Infrastruktur merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM726.23 juta, naik daripada RM91.73 juta yang dicatat pada suku tahun yang sama tahun lepas. Peningkatan ketara ini adalah disebabkan oleh pendapatan dividen yang diterima lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 3.92 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, menyumbang RM265.39 juta kepada pendapatan pelaburan KWSP. Pelaburan dalam kelas aset ini, yang merangkumi bil perbendaharaan, kertas komersial, sijil deposit jangka pendek, perjanjian belian balik dan lain-lain, memberikan aliran pendapatan yang tetap dan berperanan penting dalam memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek KWSP. 

 

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM5.17 bilion untuk S3 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya. Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya.

 

Sebanyak RM1.33 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM14.61 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM13.28 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional.

 

Mengulas prospek untuk suku terakhir tahun ini, Dato’ Mohamad Nasir berkata, “KWSP akan terus mengambil langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan persekitaran luaran yang berterusan seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China, harga komoditi yang semakin lemah, kenaikan kadar faedah AS, dan pasaran ekuiti domestik yang lebih mencabar.

 

“KWSP berbesar hati atas sokongan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia ke atas program diversifikasi jangka panjang KWSP, dalam usaha memastikan KWSP kekal berada di atas landasan untuk mencapai sasaran strategiknya, iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal dan 2.0 peratus dividen sebenar untuk tiga tahun berturut-turut.”

 

Pelaburan-Pendapatan

Pelaburan-Aset

Pelaburan-Carta Aset

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.