Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:44     

KWSP Catat Pendapatan Rm6.78 Bilion Pada S1 2016

Dana Persaraan Berhadapan Prospek Tahun Yang Sukar

 

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM6.78 bilion untuk suku tahun pertama (S1 2016) berakhir 31 Mac 2016, penurunan sebanyak 36.21 peratus berbanding RM10.63 bilion pada S1 2015.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Keadaan pelaburan pada suku tahun ini amat berbeza dengan suku tahun yang sama pada tahun lepas di mana kami berupaya meraih pulangan yang lebih baik dari pelaburan luar negara terutamanya dari pasaran ekuiti membangun yang telah menampung pasaran ekuiti domestik yang lemah.

 

“Suku tahun pertama tahun ini menyaksikan hampir kesemua pasaran ekuiti global, termasuk Bursa KLCI, mencatat kejatuhan seterusnya mengakibatkan pengurangan dari segi sumbangan pendapatan dari jumlah portfolio ekuiti kami.  Berikutan itu, sumbangan dari aset global kepada jumlah pendapatan menurun 22 peratus berbanding 47 peratus tahun lepas berikutan modal dan kadar pertukaran asing yang rendah.”

 

Di dalam suku tahun yang dikaji, Ekuiti merangkumi 41.43 peratus jumlah aset pelaburan KWSP telah menyumbang RM2.55 bilion, mewakili 37.56 peratus daripada jumlah pendapatan. Pendapatan yang dijana adalah 59.98 peratus lebih rendah berbanding RM6.36 bilion yang dicatat pada suku tahun yang sama pada 2015.  Walaupun pendapatan dari pembayaran dividen adalah stabil dan konsisten dengan suku pertama tahun lepas, kejatuhan pasaran saham global dan domestik telah menghadkan peluang KWSP untuk merealisasikan pendapatan dagangan untuk S1 2016.

 

“Pulangan rendah dari pelaburan ekuiti kami ditampung oleh pulangan dari pendapatan tetap dan aset inflasi yang kekal teguh dan stabil sepanjang suku tahun tersebut.  Alokasi Aset Strategik kami, yang memperuntukkan lebih separuh dari aset pelaburan pendapatan tetap, memainkan peranan dalam menyumbang pulangan pelaburan jangka panjang yang mapan,” tambah Datuk Shahril.

 

Berakhir Mac 2016, instrumen pendapatan tetap, mewakili 51.72 peratus dari jumlah saiz pelaburan KWSP, muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan bagi S1 2016.  Kelas aset ini menyumbang RM3.74 bilion kepada pendapatan pelaburan bersamaan 55.15 peratus pendapatan suku tahun. Sekuriti Kerajaan Malaysia menjana pendapatan sebanyak RM1.87 bilion dalam suku tahun yang dikaji, naik 9.80 peratus atau RM166.74 juta berbanding RM1.70 bilion dalam S1 2015.  Manakala Pinjaman dan Bon merekodkan pendapatan pelaburan RM1.87 bilion berbanding RM2.03 bilion dalam S1 2015.

 

Pelaburan KWSP dalam Instrumen Pasaran Wang yang kini berjumlah RM22.58 bilion, menyumbang RM110.25 juta daripada jumlah pendapatan manakala Hartanah dan Infrastruktur, yang merangkumi 3.54 peratus dari keseluruhan aset pelaburan, menjana pendapatan sebanyak RM377.84 juta dalam S1 2016 yang diperolehi dari sewa dan pendapatan yang direalisasikan oleh syarikat bersekutu.

 

“Kami sedang bersedia menghadapi tahun yang sukar di peringkat pasaran global dan domestik berikutan kemerosotan prestasi pulangan korporat dan pasaran yang dijangka akan berterusan. Keadaan ekonomi dunia, kadar pertumbuhan yang lembab di kalangan ekonomi utama serta pasaran ekuiti dan harga komoditi yang tidak menentu dijangka akan kekal sepanjang tahun ini.  Adalah penting bagi kami untuk terus berdisiplin dalam mengekalkan pendekatan aset pelbagai dan diversifikasi bagi membolehkan pencapaian objektif strategik kami,” kata Datuk Shahril.

 

“Keadaan ekonomi semasa memberikan ruang untuk KWSP mengimbangi semula portfolio di samping meningkatkan penglibatan dalam aset selepas inflasi, termasuk hartanah dan infrastruktur yang berupaya memberikan pendapatan yang stabil dan berterusan.

 

“Hartanah dan Infrastruktur kami adalah agak kecil pada masa ini, iaitu sebanyak empat (4) peratus tetapi ia merupakan aspek perniagaan kami yang berkembang dengan pesat.  Matlamat kami adalah untuk memastikan aset berkaitan inflasi kami mencapai lebih kurang 10 peratus dari jumlah saiz dana dalam tempoh masa lima hingga tujuh tahun,” tambah Datuk Shahril.

 

Bertentangan dengan konsep menumpukan kepada pulangan jangka pendek, KWSP, sebagai dana simpanan persaraan, sentiasa fokus kepada pulangan jangka panjang yang mapan dengan mensasarkan dua (2) peratus dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut.  Ini selari dengan objektif pelaburan KWSP yang bukan sahaja untuk melindung tetapi turut menambahkan nilai simpanan ahli.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.