Kemaskini terakhir : 12/03/2019 2:22     

KWSP Catat Peningkatan Penggunaan e-Pengeluaran, i-Akaun

Saluran elektronik memudahkan transaksi dengan KWSP

 

KUALA LUMPUR, 23 September 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan peningkatan penggunaan kemudahan e-Pengeluaran setelah ianya diperluaskan untuk membolehkan penyerahan permohonan Pengeluaran Pendidikan dan Pengeluaran Kesihatan secara dalam talian bermula April. Di samping menghantar permohonan Pengeluaran Perumahan, perluasan ini menjadikan e-Pengeluaran sebagai alternatif kepada ahli untuk menyerahkan permohonan pengeluaran dengan lebih efisien.

 

Laporan suku tahun kedua (S2 2016) Operasi menyaksikan perkhidmatan elektronik KWSP yang merangkumi i-Akaun, Kios KWSP dan laman web myEPF terus menjadi pilihan transaksi dengan KWSP.  Penggunaan i-Akaun meningkat 44.26 peratus dari 3.33 juta dalam S2 2015 kepada 4.81 juta sehingga akhir Jun 2016.  Jumlah penggunaan Kios KWSP dalam suku tahun yang dikaji meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta dalam S2 2015.

 

Dalam membentangkan prestasi S2 2016 Operasi, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Perkhidmatan kami telah melalui penambahbaikan pesat untuk disesuaikan dengan peredaran masa dan kehendak ahli.  Kemudahan e-Pengeluaran ini adalah antara operasi kami yang sedang giat membangun kerana ia memudahkan ahli untuk membuat permohonan pengeluaran.  Bank-bank yang menyertai e-Pengeluaran juga telah melaporkan pengurangan tempoh untuk proses permohonan serta peningkatan produktiviti harian mereka.”

 

Pada masa ini, bank-bank yang menyertai e-Pengeluaran adalah Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank. Datuk Shahril berkata KWSP juga sedang mengusahakan penambahan jumlah institusi kewangan untuk menyertai e-Pengeluaran supaya lebih ramai ahli boleh memanfaatkan kemudahan ini.

 

Sehingga akhir Jun 2016, e-Pengeluaran merekodkan jumlah permohonan yang diluluskan sebanyak 18,707 untuk Pengeluaran Pendidikan semenjak kemudahan dalam talian untuk pengeluaran ini ditawarkan pada April tahun ini.  Peningkatan yang mendadak sebanyak 12,422 dicatatkan pada bulan Jun melibatkan Pengeluaran Pendidikan, di mana majoriti permohonan adalah untuk melunaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Pendidikan dalam S2 2016 merekodkan peningkatan tertinggi  sebanyak 200.43 peratus kepada 60,931 melibatkan RM370.39 juta dari 20,281 permohonan diluluskan (RM96.86 juta) pada S2 2015 (S1 2016: 44,292, RM255.21 juta).

 

Suku tahun yang dikaji juga merekodkan peningkatan 12.64 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun kepada 91,111 dari 80,890 dalam suku tahun yang sama pada 2015.  Jumlah yang dikeluarkan dalam skim tersebut adalah RM2.70 bilion berbanding RM3.13 bilion dalam S2 2015 (S1 2016: 91,099, RM3.03 bilion).  Ini berbeza dengan jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun pada S2 2016 yang mencatatkan penurunan 8.56 peratus dari 60,087 permohonan diluluskan dalam S2 2015 melibatkan jumlah RM3.21 bilion kepada 54,946 (RM2.69 bilion) pada S2 2016.

 

Datuk Shahril menyifatkan peningkatan jumlah pemohon yang memilih untuk membuat pengeluaran simpanan persaraan mereka secara berperingkat sebagai tanda tahap kesedaran ahli yang semakin meningkat terhadap manfaat menyimpan dalam tempoh lebih panjang serta mengambil keuntungan dari dividen tahunan.

 

“Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun memberikan fleksibiliti di samping memelihara caruman ahli selepas umur 55 tahun.  Ini memastikan ahli mencapai kualiti hidup yang mapan sepanjang persaraan memandangkan pesara kini berhadapan dengan cabaran jangka hayat yang panjang dan kos hidup yang tinggi yang akan melupuskan simpanan mereka dengan lebih pantas,” kata Datuk Shahril. 

 

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Perumahan menyaksikan penurunan dari 111,898 dalam S2 2015 kepada 111,169 dalam S2 2016 melibatkan jumlah sebanyak RM1.62 bilion (S1 2016: 104,373, RM1.54 bilion).

 

Jumlah ahli KWSP dalam S2 2016 meningkat 3.05 peratus dari 14,357,940 dalam S2 2015 kepada 14,796,334 dalam S2 2016, di mana 6,855,701 atau 46.33 peratus adalah ahli aktif. Jumlah majikan baru berdaftar dalam S2 2016 merekodkan 19.17 peratus kejatuhan dari 18,903 dalam S2 2015 kepada 15,279 dalam S2 2016, menjadikan jumlah keseluruhan majikan berdaftar dengan KWSP sebanyak 539,291 sehingga Jun 30, 2016.



“Peningkatan jumlah ahli kami adalah selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan jimat kos.  Kami menggalakkan ahli untuk mendaftar dengan i-Akaun agar mereka boleh memanfaatkan perkhidmatan dalam talian kami di samping menyemak akaun KWSP mereka dan mengemaskini profail masing-masing,” kata Datuk Shahril. Tambahan lagi, beliau berkata i-Akaun juga membolehkan ahli untuk memastikan majikan mereka membuat caruman dengan kerap dan menepati masa.

 

Sehingga akhir Jun 2016, kadar majikan tidak mencarum adalah stabil pada 1.10 peratus. Datuk Shahril berkata ini adalah berikutan tindakan pantas oleh pasukan Penguatkuasaan KWSP selain peningkatan kesedaran di kalangan majikan terhadap kesejahteraan persaraan pekerja mereka.

 

Ahli yang ingin mendaftar dengan i-Akaun boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau melalui Kios KWSP atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP atau melalui mobile team KWSP.  KWSP juga mengingatkan ahli untuk tidak bersubahat dengan sindiket atau ejen yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran simpanan KWSP dengan mengenakan yuran yang tinggi.



https://secure.kwsp.gov.my/portal/documents/10180/175151/KWSP_CATAT_PENINGKATAN_PENGGUNAAN_e-PENGELUARAN__i-AKAUN_23092016.pdf

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.