Kemaskini terakhir : 13/03/2019 1:14     

Pengurangan Kadar Caruman Berkanun Syer Pekerja 2016

KUALA LUMPUR, 28 Januari 2016: Selaras dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa pembentangan semakan penyesuaian semula Bajet 2016 pada hari ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan pengurangan kadar berkanun caruman syer pekerja daripada 11% kepada 8% untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun dan daripada 5.5% kepada 4% untuk pekerja berumur 60 tahun dan ke atas, mulai gaji bulan Mac 2016 sehingga bulan Disember 2017. 

 

Walau bagaimanapun, pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11% dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun (KWSP 17A Khas2016) dan perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP yang berhampiran.

 

Pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas2016 di laman sesawang KWSP di new.epf.gov.my mulai 2 Februari 2016. Manakala jadual baharu Kadar Caruman Bulanan (Jadual Ketiga) boleh dimuat turun mulai 16 Februari 2016.

 

Untuk makluman, tiada apa-apa perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan.

 

Soalan-Soalan Lazim Penurunan Kadar Caruman Berkanun Syer Pekerja Mulai Upah/Gaji Mac 2016

 

Borang KWSP 17A (Khas2016)

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.