Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:29     

Pendaftaran Simpanan Shariah Dibuka Hari Ini

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa Simpanan Shariah yang akan dilancarkan pada Januari 2017 kini dibuka untuk pendaftaran hari ini di seluruh cawangannya kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kerakyatan.

 

Ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Shariah perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP dan bawa MyKad untuk pengesahan cap jari manakala ahli bukan warganegara Malaysia perlu membawa pasport.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk KWSP dengan pembukaan pendaftaran Simpanan Shariah.  Kami amat sukacita kerana kami berjaya memenuhi permintaan yang tinggi oleh ahli semasa Rundingan Awam tahun lepas untuk diwujudkan pilihan simpanan persaraan yang diuruskan berlandaskan prinsip Shariah.”

 

Beliau berkata keputusan untuk menukar kepada Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada ahli sendiri dan menasihati ahli untuk memahami konsep Simpanan Shariah terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menukar dari simpanan KWSP konvensional.

 

Dana sebanyak RM100 bilion, iaitu lebih kurang 15 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016, diperuntukkan untuk Simpanan Shariah 2017 berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.  Untuk melayakkan diri untuk Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion.

 

Untuk majikan, proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama.  Tiada perubahan atau borang lain yang perlu diisi oleh majikan untuk pekerja yang memilih Simpanan Shariah.

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan Simpanan Shariah, Soalan Lazim (FAQ) dan proses pendaftaran, sila layari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.