Kemaskini terakhir : 11/03/2019 10:54     

KWSP Bentang Laporan Tahunan 2017

KUALA LUMPUR, 13 April 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2017 yang kini boleh dimuat turun daripada laman web myEPF di pautan www.kwsp.gov.my. Laporan Tahunan ini, yang telah dibentangkan di Parlimen pada 3 April 2018, melaporkan peningkatan 6.38 peratus caruman tahunan kepada RM65.52 bilion, berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion, sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM16.12 bilion. KWSP turut mencatatkan kenaikan 8.26 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM791.48 bilion, berbanding RM731.11 bilion pada tahun 2016. Jumlah caruman ahli pula sebanyak RM768.51 bilion setakat 31 Disember 2017.

 

KWSP sebelum ini mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional melibatkan agihan dividen RM44.15 bilion, dan kadar dividen 6.40 peratus untuk Simpanan Shariah melibatkan agihan dividen RM3.98 bilion. Secara keseluruhannya, agihan dividen untuk tahun 2017 berjumlah RM48.13 bilion, naik 29.80 peratus daripada tahun 2016. 

 

Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 3.84 peratus kepada 2.45 juta, di mana 2.32 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion melalui pelbagai skim pengeluaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Secara keseluruhannya, tahun 2017 merupakan tahun yang baik di mana KWSP buat pertama kalinya mengumumkan keputusan pelaburan dan kadar dividen bagi Simpanan Shariah. KWSP mengakhiri tahun kewangan dengan mencatat pendapatan pelaburan kasar tertinggi dengan pulangan atas pelaburan kasar (ROI) sebanyak 7.30 peratus, peningkatan 18 mata asas berbanding 2016.  

 

“KWSP telah mencapai kemajuan yang besar dalam memenuhi keperluan ahli, di mana kami telah memperkenalkan lebih banyak penambahbaikan ke atas saluran dalam talian kami. Portal e-Caruman KWSP juga bakal mencapai kadar penggunaan 100 peratus dalam kalangan majikan, di mana saluran dalam talian tersebut terbukti berkesan dalam membantu majikan mengemaskini butiran caruman pekerja dan membayar caruman dalam masa yang telah ditetapkan.”

 

Prestasi kukuh untuk pelaburan KWSP

KWSP mencatat prestasi keseluruhan yang kukuh melangkaui semua kelas aset dalam portfolio, di mana sebahagian besar didorong oleh pelaburan dalam ekuiti global yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik. Setakat 31 Disember 2017, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM791.48 bilion. Kelas aset ekuiti, yang merangkumi 42 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana RM31.47 bilion untuk tahun 2017. 

 

Daripada pendapatan pelaburan kasar RM53.14 bilion yang dijana untuk tahun tersebut, lebih daripada 40 peratus pendapatan disumbangkan oleh pelaburan luar negara KWSP yang merangkumi kurang daripada 28 peratus daripada portfolio pelaburannya.

 

Pengklasifikasian semula data KWSP

Bermula suku tahun ketiga tahun 2017 (S3 2017), KWSP telah menjalankan aktiviti pengklasifikasian semula data ahli dan majikan untuk menyusun semula datanya berpandukan peruntukan Akta KWSP 1991. Objektif utama pengklasifikasian itu adalah untuk membezakan antara akaun ahli yang mempunyai simpanan dan akaun ahli yang tiada simpanan (akaun dorman). Di samping itu, individu dan organisasi terkandung dalam definisi Akta KWSP 1991 akan diklasifikasikan sebagai ‘majikan’, manakala mereka yang bekerja dalam sektor tidak rasmi diklasifikasikan sebagai ‘bekerja sendiri’.

 

Berikutan aktiviti pengklasifikasian semula, jumlah ahli KWSP setakat 31 Disember 2017 adalah 13.79 juta, di mana 7.11 juta ditakrifkan sebagai ahli aktif (yang telah membuat caruman sekurang-kurangnya sekali dalam 12 bulan yang lalu), manakala jumlah majikan mencarum adalah 494,945.

 

Kecemerlangan melalui platform digital dan perkhidmatan elektronik

Agenda digital dan tumpuan berterusan ke atas penambahbaikan proses telah membuahkan hasil cemerlang dalam pengurusan kos. Pada 26 mata asas bagi setiap aset di bawah pengurusan (AUM), KWSP kekal antara pengurus dana yang paling efisyen di dunia. Terdapat juga peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan kepada ahli dan majikan di mana 93 peratus (60.68 juta) transaksi telah dilakukan melalui pelbagai saluran elektronik dan khidmat sendiri, berbanding 91 peratus (55.41 juta) pada tahun 2016.

  

Aplikasi mudah alih i-Akaun untuk ahli KWSP juga telah dipertingkatkan lagi dengan memasukkan antara muka pengguna yang memaparkan penyata KWSP baru, push notifications, secured inbox dan Soalan Lazim Simpanan Shariah. Jelas sekali, i-Akaun menjadi pilihan ahli dalam urus niaga dengan KWSP di mana pendaftaran i-Akaun ahli mencatat peningkatan sebanyak 40 peratus ke 4.70 juta, berbanding 3.36 juta pada tahun sebelumnya. Bagi transaksi majikan, KWSP mencatatkan 99.30 peratus penyerahan dalam talian untuk Borang A, manakala 60.90 peratus caruman dibuat melalui kemudahan e-Bayar.

 

Lebih banyak produk dan perkhidmatan

Pada Disember 2017, KWSP mengumumkan beberapa produk dan perkhidmatan baru kepada ahli yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2018. Antaranya pilihan kepada ahli untuk melantik Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir/pemegang amanah kepada simpanan KWSP ahli bagi memudahkan pengagihan simpanan dengan cepat dan saksama kepada waris berikutan kematian ahli. Satu lagi perkhidmatan yang ditambahbaik adalah pengeluaran fleksibel untuk keperluan pasca persaraan, yang membolehkan ahli yang telah bersara untuk membuat pengeluaran pada sebarang amaun dan pada bila-bila masa mengikut keperluan sara hidup mereka.

 

Kerjasama strategik

Bagi mengukuhkan landskap keselamatan sosial negara dan memenuhi visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, tahun 2017 melihat KWSP memacu beberapa kerjasama strategik bersama rakan kongsi antarabangsa dan tempatan.

 

Pada Ogos 2017, KWSP telah menandatangani perjanjian dengan Pusat Latihan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ITC-ILO) untuk bersama-sama membangun dan melaksanakan aktiviti latihan di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain menerusi EPF Learning Campus di Bangi. Matlamat kerjasama strategik seperti ini adalah bagi meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai pusat serantau dalam hal keselamatan sosial. 

 

Pada Oktober 2017, KWSP menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Uber Malaysia untuk mempromosikan Skim Persaraan 1Malaysia kepada komuniti pemandu Uber bagi menggalakkan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk merancang dan menabung untuk persaraan mereka.

 

Ke arah masa depan

“Kami amat berbangga dengan prestasi keseluruhan KWSP untuk 2017 kerana bukan sahaja kami mampu mencatat kadar dividen yang baik, kami juga dapat memenuhi permintaan ahli dan membantu majikan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Dari segi prospek kewangan, kami menjangkakan kemeruapan pasaran yang berterusan dan ketidaktentuan politik untuk tahun yang akan datang bagi kedua-dua bahagian domestik dan global. Walau bagaimanapun, kami melihat ini sebagai satu peluang untuk mengekalkan prestasi kewangan dan meningkatkan pulangan pelaburan dalam jangka panjang,” kata Datuk Shahril.

 

“Tahun lepas juga melihat kami menyediakan beberapa inisiatif untuk mempersiapkan diri untuk masa depan dan memenuhi permintaan ahli dan majikan yang sentiasa berubah serta mewujudkan infrastruktur digital yang mampan. Kesemua inisiatif ini akan membolehkan kami melaksanakan mandat kami dalam melindungi dan memelihara nilai simpanan ahli kami secara berkesan, serta kekal relevan dengan ahli dan majikan.

 

Laporan Tahunan KWSP 2017 kini boleh dimuat turun di laman web KWSP di new.epf.gov.my. Ahli boleh rujuk laman web untuk mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan (CMC) di 03-8922 6000, atau kunjungi mana-mana 68 cawangan KWSP di seluruh negara. Untuk mendaftar i-Akaun, ahli perlu mendapatkan kod pengaktifan melalui Kios KWSP, kaunter KWSP, atau menghubungi CMC pada hari bekerja dari 8 pagi sehingga 6 petang. Ahli juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih i-Akaun secara percuma melalui Google Play atau Apple App Store.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.