Kemaskini terakhir : 06/11/2020 8:30     

MAKLUM BALAS KWSP TERHADAP BELANJAWAN 2021

KUALA LUMPUR, 6 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum tentang pengumuman Belanjawan 2021 yang memberikan pendekatan yang teliti, mesra rakyat dan holistik dalam menguruskan situasi semasa pandemik COVID-19, dan kesannya terhadap ekonomi, penjagaan kesihatan, serta kelestarian jangka panjang negara.

Belanjawan ini menggambarkan keprihatinan Kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat pada masa yang sukar ini. Ia menekankan keseimbangan dalam membantu rakyat meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama mendorong pertumbuhan ekonomi. KWSP juga menyambut baik pertimbangan Kerajaan atas beberapa cadangan yang telah dikemukakan, terutamanya dalam menangani isu perlindungan sosial yang telah diketengahkan sejak beberapa tahun ini.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, "Pandemik COVID-19 telah membawa cabaran yang tidak terduga dan sangat berat, terutamanya kepada golongan yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Awal tahun ini, KWSP telah mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ahli kami dengan memperkenalkan kemudahan Pengeluaran i-Lestari, dengan harapan ia dapat meredakan sedikit masalah aliran tunai mereka. KWSP juga telah membenarkan ahli mengurangkan kadar caruman syer pekerja secara sukarela daripada 11 peratus kepada tujuh (7) peratus untuk tempoh April 2020 hingga Disember 2020. Selain itu, kami juga menghulurkan bantuan kepada majikan yang terjejas dengan memperkenalkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP), yang membolehkan majikan yang layak memohon untuk menangguh dan menstruktur semula caruman syer majikan KWSP.”

"Namun, kemunculan gelombang baharu kes COVID-19 telah mengakibatkan proses pemulihan ekonomi yang tidak menentu sehingga menyebabkan sebilangan ahli kami kembali berdepan dengan masalah kewangan. Kami juga bimbang bantuan yang sedia ada mungkin tidak akan dapat bertahan lama terutamanya bagi mereka yang memerlukan lebih banyak aliran tunai untuk menyara diri dan keluarga.”

“Kebenaran untuk ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah berlaku atau dilaksanakan sebelum ini. Simpanan dalam Akaun 1 (70% dari simpanan) telah ditetapkan untuk persaraan ahli manakala simpanan dalam Akaun 2 (30% dari simpanan) pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja. Oleh yang demikian, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Namun, kami telah menemui jalan tengah untuk membolehkan ahli mengakses simpanan mereka tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa hadapan.”

Kemudahan pengeluaran tambahan ini adalah sangat khusus dan disasarkan kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan wang tunai. Kemudahan ini adalah untuk jangka pendek dan diberikan sekali seumur hidup untuk membantu meringankan beban kewangan golongan yang paling rentan dan tidak dilindungi, serta pada masa yang sama, mengekalkan mandat KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli. Permohonan penambahan kemudahan pengeluaran bersasar ini akan bermula pada Januari 2021 manakala perincian lebih lanjut mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya pada 11 November 2020.

KWSP juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli membuat pengeluaran dari Akaun 2 untuk mendapatkan produk insurans dan takaful yang merangkumi insurans nyawa / keluarga dan penyakit kritikal daripada syarikat insurans dan takaful yang diluluskan. Produk-produk ini akan disediakan melalui i-Akaun, yang akan disesuaikan untuk ahli KWSP dengan harga premium yang berpatutan dan dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan.

Selain itu, KWSP juga menyambut baik keputusan Kerajaan berkenaan penurunan kadar caruman minimum syer pekerja kepada sembilan (9) peratus, mulai Januari 2021 hingga Disember 2021, yang mengambil kira tekanan ekonomi dan juga pengurangan pendapatan ahli.

"Pandemik COVID-19 masih belum reda dan kita harus hidup dengannya selama beberapa tahun akan datang. Kami berharap wang tambahan untuk ahli kami dapat meningkatkan pendapatan boleh guna mereka dan memacu perbelanjaan domestik.”

“Berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa pengumuman Belanjawan 2021 hari ini, kami juga amat menghargai pandangan dan pertimbangan Kementerian Kewangan mengenai cabaran keadaan semasa yang memberi kesan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia, dengan membenarkan bantuan tambahan ini,” kata Alizakri.

KWSP ingin menekankan bahawa walaupun langkah-langkah ini adalah respon kepada kebimbangan masa kini ahli dan meliputi keperluan jangka pendek bagi menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya, langkah-langkah untuk menangani isu-isu berkaitan sistem perlindungan sosial negara perlu dilaksanakan segera. Kekurangan langkah-langkah menyeluruh dalam menangani kesejahteraan sosial rakyat Malaysia pada masa sekarang jelas kelihatan susulan berlakunya penularan pandemik yang tidak terduga ini.

"Memandangkan KWSP mewakili hampir 50% populasi rakyat Malaysia dengan 14.6 juta ahli, KWSP akan mengambil pendekatan proaktif dalam memberikan pandangan dan membantu Kerajaan mewujudkan penyelesaian secara holistik untuk mencapai kesejahteraan sosial bagi ahli KWSP khususnya, dan rakyat Malaysia amnya. Kami akan terus memperjuangkan isu perlindungan sosial bersama-sama dengan agensi-agensi dan badan-badan yang lain melalui MySPC (Majlis Perlindungan Sosial Malaysia) dan akan berusaha untuk meningkatkan sistem perlindungan sosial untuk masa depan rakyat Malaysia,” tambah Alizakri.

KWSP juga akan meningkatkan program jangkauan kami untuk mengupaya dan memperkasa ahli kami dengan pengetahuan kewangan agar mereka bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa depan di samping membantu mereka dalam meningkatkan kemahiran diri. Kami menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP untuk membantu merancang kewangan mereka dengan lebih berkesan dan mendapatkan nasihat berkenaan penyelesaian yang sedia ada.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 November 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.