Kemaskini terakhir : 12/03/2019 11:36     

RM59 Bilion Telah Digunakan Untuk Simpanan Shariah 2017

RM50 billion untuk suntikan dana kedua

 

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa sehingga 23 Disember 2016, sebanyak RM59.03 bilion dari alokasi permulaan RM100 bilion untuk Simpanan Shariah 2017 telah digunakan dan seramai 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Shariah, majoritinya pada 99.41 peratus adalah ahli beragama Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Kami telah menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari alokasi permulaan RM100 bilion akan terguna dan statistik yang terkini sememangnya amat menggalakkan.  Untuk Simpanan Shariah 2018, kami telah memperuntukkan sebanyak RM50 bilion sebagai suntikan dana yang kedua.

 

“Kami berada di landasan yang betul dalam mempertingkatkan pelaburan aset Shariah kami.  Lebih kurang 45 peratus aset pelaburan KWSP adalah patuh Shariah dan kami menjangkakan aset ini akan berkembang tidak kurang dari purata RM25 bilion setahun.”

 

Simpanan Shariah diperkenalkan pada Ogos 2016 sebagai opsyen untuk ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada akaun yang ditadbir dan dilaburkan mengikut prinsip Shariah.  Ahli yang ingin menukar ke Simpanan Shariah 2018 boleh melakukannya sebelum 24 Disember 2017.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Simpanan Shariah, sila hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk laman mikro Simpanan Shariah melalui laman web KWSP di http://www.kwsp.gov.my/shariah/index.html.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.