Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:39     

Penggunaan Perkhidmatan Elektronik KWSP Catat Peningkatan

i-Akaun pilihan utama untuk transaksi

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan bahawa teknologi terus menjadi asas kepada prestasi operasi KWSP apabila ia merekodkan peningkatan yang tinggi pada jumlah penggunaan saluran elektronik KWSP pada suku tahun pertama (S1 2016) Operasi.

 

Kios KWSP, laman web myEPF dan i-Akaun terus menjadi pilihan utama ahli untuk berinteraksi dengan KWSP. Di dalam suku tahun yang dikaji, jumlah penggunaan kios KWSP meningkat 26.20 peratus kepada 3.63 juta berbanding 2.88 juta di dalam suku tahun yang sama pada 2015.  Jumlah penggunaan i-Akaun juga mencatatkan peningkatan 61.25 peratus kepada 4.70 juta berbanding 2.91 juta dalam 2015, seterusnya mencerminkan tahap penerimaan yang tinggi di kalangan ahli terhadap e-servis KWSP yang lebih efisien dan mudah.  Jumlah pendaftaran baru i-Akaun ahli tahun sehingga kini adalah 367,558 manakala i-Akaun majikan 41,914, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2.50 juta ahli dan majikan yang berdaftar dengan i-Akaun sehingga Mac 2016.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Memanfaatkan teknologi terkini adalah penting bagi KWSP dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan kami. Kami perlu mengurangkan kebergantungan kepada transaksi kaunter dan secara manual dan menggalakkan penggunaan servis elektronik kerana ia adalah lebih efisien dan kos efektif.

 

“i-Akaun adalah sangat efektif dalam konteks ini kerana ia bukan sahaja memudahkan ahli menyemak penyata dan kemaskini profail, tetapi membolehkan mereka untuk menyerahkan permohonan melalui e-Pengeluaran untuk membuat pengeluaran perumahan atau pendidikan serta menyemak status dan kelayakan. i-Akaun juga merupakan saluran untuk e-Caruman yang memudahkan majikan untuk menyerahkan maklumat caruman pekerja mereka dan membuat pembayaran secara dalam talian.”

 

Bermula 2013 sehingga Mac 2016, jumlah permohonan diluluskan yang dihantar melalui e-Pengeluaran adalah 11,429 manakala e-Caruman mencatatkan jumlah penggunaan oleh majikan mencecah 484,898, merangkumi 90 peratus jumlah ahli yang aktif.

 

Di dalam suku tahun yang dikaji, jumlah ahli KWSP meningkat 2.77 peratus dari 14,291,615 dalam S1 2015 kepada 14,688,066, yang mana 6,822,551 adalah ahli aktif. Jumlah majikan baru berdaftar dengan KWSP pada S1 2016 mencatatkan kejatuhan 20.56 peratus dari 20,463 dalam Q1 2015 kepada 16,256, menjadikan jumlah majikan keseluruhannya sebanyak 538,639.  Jumlah caruman diterima di dalam suku tahun yang dikaji adalah RM16.86 bilion, meningkat 4.01 peratus dari RM16.21 bilion dalam S1 2015.

 

S1 2016 juga menyaksikan kenaikan 17 peratus jumlah permohonan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang diluluskan kepada 91,099 dari 77,865 dalam 2015.  Skim ini mencatat jumlah pengeluaran sebanyak RM3.03 bilion berbanding RM2.68 bilion pada S1 2015. Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam S1 2016 adalah 60,844, melibatkan jumlah RM3.35 bilion. Ini merupakan peningkatan sebanyak 9.78 peratus dari 55,422 permohonan diluluskan dalam S1 2015 berjumlah RM2.60 bilion (S4 2015: 44,166, RM2.03 bilion).

 

Datuk Shahril berkata peningkatan dalam permohonan yang diluluskan dibawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun menggambarkan kecenderungan ahli untuk terus menyimpan dengan KWSP. “Dengan cara ini, ahli dapat mengembangkan simpanan mereka dan mengambil keuntungan ke atas dividen tahunan.”

 

Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Perumahan terus mencatatkan kenaikan dari 96,314 dalam S1 2015 kepada 104,373 dalam S1 2016. Manakala Pengeluaran Pendidikan pula mencatatkan peningkatan 90.36 peratus dalam S1 2016 kepada 44,292 permohonan diluluskan dari 23,267 dalam S1 2015.

 

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli (KWSP-SPA) pada S1 2016 adalah 171,866, melibatkan jumlah RM1.53 bilion, meningkat 28.88 peratus dari 133,351 dalam S1 2015 (S4 2015: 159,099). KWSP menggalakkan ahli untuk melayari Portal Informasi KWSP-SPA untuk mendapatkan maklumat berkaitan dana unit amanah dan institusi pengurusan dana yang mengurus dana-dana tersebut sebelum membuat keputusan untuk memindahkan sebahagian simpanan mereka dalam Akaun 1 untuk pelaburan.

 

Ahli yang ingin mendaftar untuk i-Akaun boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau melalui kios KWSP atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP atau Mobile Team KWSP. Ahli diingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan sindiket atau agen yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu mengeluarkan wang simpanan KWSP ahli dengan mengenakan caj.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.