Kemaskini terakhir : 11/03/2019 11:12     

Rangka Kerja Tadbir Urus KWSP Mencegah Penipuan Dana Ahli

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan kepada ahli bahawa ia mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan mantap bagi mencegah sebarang penipuan ke atas dana ahli-ahlinya. Terdapat satu lagi siri dakwaan ditimbulkan baru-baru ini oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai pemindahan dana dan bon dalam jumlah yang besar dari KWSP melalui kaedah penipuan. KWSP menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa surat dan kertas cadangan yang didakwa wujud merupakan dokumen palsu. Oleh itu, kertas cadangan yang tersebut tidak pernah dikemukakan kepada KWSP dan tidak pernah dipertimbangkan langsung.

 

KWSP juga menegaskan bahawa tiada sebarang pemindahan dana atau bon seperti yang didakwa. Berikutan daripada audit tahunan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara, kami boleh mengesahkan bahawa bon yang dipersoalkan masih kekal dalam pemilikan KWSP, melalui pengesahan yang diterima daripada PayNet pada bulan Januari 2018. Paynet merupakan pengendali sistem pembayaran yang diluluskan dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dan turut merupakan anak syarikat BNM. Kami sekali lagi menegaskan bahawa transaksi yang disebutkan tidak pernah berlaku, manakala kedua-dua RHB Bank dan HSBC Bank juga mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan tersebut.

 

Rangka kerja tadbir urus KWSP memerlukan semua kertas cadangan melalui proses penilaian pelaburan yang ketat meliputi analisis komprehensif, penilaian risiko dan usaha wajar oleh pasukan pakarnya. Sebaik sahaja cadangan itu lulus dalam saringan peringkat pertama, maka ia tertakluk kepada pertimbangan yang lebih terperinci oleh Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan (MIC), yang terdiri daripada ahli-ahli kanan Bahagian Pelaburan serta ahli-ahli pengurusan tertinggi KWSP. Hanya setelah mendapat kelulusan daripada MIC, kertas cadangan akan dibawa ke Panel Pelaburan untuk pertimbangan selanjutnya sebelum mendapat kelulusan akhir. Panel Pelaburan dianggotai oleh profesional industri, ahli pengurusan kanan KWSP, serta wakil daripada BNM dan Kerajaan.

 

KWSP berpegang teguh kepada mandat kami untuk melindungi dan memelihara simpanan ahli. Memandangkan terdapat percubaan untuk merosakkan reputasi dan menimbulkan keraguan terhadap integriti KWSP dengan sengaja secara berturut-turut, kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menerbitkan kenyataan berniat jahat ini.   

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 7 Mac 2018