Kemaskini terakhir : 12/03/2019 12:40     

Khidmat Nasihat Persaraan KWSP Menang Anugerah Inovasi World Pension Summit

KUALA LUMPUR, 17 November 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dianugerahkan 2016 Pensions & Investments WorldPensionSummit Innovation Awards kategori Komunikasi di Louwman Museum, The Hague, Netherlands, untuk inisiatif Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP.

 

Majlis pada 10 November 2016 dianjurkan sempena World Pension Summit bagi mengiktiraf institusi yang memperkenalkan inisiatif dan penyelesaian pencen terbaik. 

 

Timbalan Pengerusi KWSP Dato’ Siti Zauyah Mohd Desa, yang menerima anugerah tersebut berkata, “Kami berasa amat bangga dengan anugerah ini kerana ia merupakan suatu pengiktirafan dan sokongan terhadap inisiatif kami dalam menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat percuma dan terbuka kepada semua dalam usaha untuk membantu ahli menguasai persaraan dan memastikan jaminan kewangan sepanjang tempoh persaraan mereka.”

 

Mula diperkenalkan pada 1 Julai 2014 sebagai projek perintis di dua cawangan utama KWSP di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, RAS merupakan platform untuk ahli mendapatkan khidmat nasihat peribadi dari pegawai terlatih KWSP dalam hal berkaitan perancangan persaraan. Kini, inisiatif ini telah dikembangkan kepada beberapa cawangan lain dalam Malaysia.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Sebagai salah satu organisasi keselamatan sosial di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan sedemikian, kami telah melangkah setapak kehadapan dari peranan sedia ada iaitu pengurusan pelaburan dan transaksi seumpamanya kepada perkhidmatan yang berfokuskan kepada khidmat nasihat.” 

 

Beliau menerangkan bahawa buat masa ini terdapat 18 kaunter RAS di beberapa cawangan KWSP di seluruh negara dan sehingga 2018, khidmat nasihat persaraan ini akan ditawarkan di setiap cawangan, termasuk mewujudkan RAS mobile untuk memberikan perkhidmatan di kawasan luar bandar.

 

Pegawai RAS perlu menjalani program Penasihat Kewangan Berdaftar dari Majlis Perancangan Kewangan Malaysia yang tertakluk di bawah Suruhanjaya Sekuriti.  Mereka juga perlu menjalani program latihan dengan agensi khidmat nasihat kewangan untuk enam bulan sebelum manjawat peranan sebagai pegawai RAS.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.