Kemaskini terakhir : 21/11/2019 4:03     

Agenda Kesejahteraan Sosial KWSP Bermula Dengan ISWC 2019

•    Pakar-pakar terkenal peringkat global berkumpul bincangkan isu-isu sosial penting 
•    Pelancaran #MalaysiaKerja berhasrat wujudkan peluang pekerjaan di seluruh negara

 

KUALA LUMPUR, 21 November 2019:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini bersidang di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 (ISWC) buat edisi kelapan. Persidangan tahunan ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. 

 

Juga hadir pada majlis tersebut Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Mahfuz Haji Omar. 

 

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata evolusi ‘Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa’ kepada ‘Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa’ mencerminkan perubahan fokus yang diperlukan untuk membincangkan isu-isu jangka panjang, yang lebih luas merangkumi isu-isu ekonomi, persekitaran dan sivil.

 

Bertemakan “Shaping Destiny – Between Hope and Extinction”, ISWC 2019 merangkumi pelbagai topik kesejahteraan yang timbul hasil daripada cabaran dunia sebenar, termasuk ekonomi amanah, strategi bakat, penuaan penduduk dan maksud sebenar kegembiraan. 

 

Tan Sri Samsudin berkata bahawa tema yang dipilih merupakan respon KWSP kepada perubahan-perubahan global yang dirasai sekeliling dan keperluan untuk bertindak mencipta takdir atau destiny agar kita dapat memelihara kesejahteraan bersama dan menjalani kehidupan bermakna. 

 

Beliau menambah KWSP mengambil maklum cabaran-cabaran beroperasi dalam persekitaran global yang tidak tentu dengan penuaan penduduk dan keperluan untuk bekerja lebih lama, kompetitif dan dipacu unsur digital. 
Antara pakar yang berucap pada persidangan tersebut yang dianjur bersama Amundi Asset Management dan Aberdeen Standard Investments adalah Dr Jane Goodall, Pengasas Institute Jane Goodall. Sebagai pakar konservasi terkenal dunia, Dr Jane sering berucap mengenai krisis alam sekitar, mendesak kita untuk memahami tanggungjawab dan keperluan untuk melakukan perubahan. 

 

Antara yang turut berucap termasuk Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Cooperation (MDEC); Dzameer Dzulkifli, Pengasas Teach for Malaysia; Malene Rydahl, Penulis buku Happy as a Dane dan Freaky Clown (FC), Pengasas bersama dan Ketua Penggodam, Cygenta, dimana mereka berkongsi pendapat dan kepakaran dalam pelbagai topik kesejahteraan sosial termasuklah ekonomi digital dan pendidikan. 

 

Persidangan tersebut juga menyaksikan pelancaran #MalaysiaKerja, inisiatif yang dipacu Kementerian Kewangan yang telah diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2020. KSWP merupakan pentadbir yang dipilih untuk program yang melibatkan pengambilan pekerja dan insentif pendapatan bernilai RM6.5 bilion dan dijangka mewujudkan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun. 

 

Mensasarkan golongan belia, wanita dan pekerja 3D, #MalaysiaKerja mengandungi empat program iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #PerantisKerja, dan #WatanKerja. Inisiatif ini juga akan melihat penglibatan aktif Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat bersama sokongan penuh Kabinet. 

 

Tan Sri Samsudin berkata KWSP berbesar hati untuk menggalas tanggungjawab dalam mentadbir #MalaysiaKerja, yang juga selari dengan visi badan itu untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik. 

 

“Pada dasar program #MalaysiaKerja ini adalah kewujudan peluang pekerjaan dengan pelbagai kesan berganda jangka panjang, yang akan menyokong agenda kesejahteraan sosial KWSP untuk negara,” beliau berkata.
 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
[email protected]
21 November 2019 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangn di peringkat negara.