Kemaskini terakhir : 15/03/2019 4:31     

KWSP Tegas Tangani Penipuan Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus meningkatkan usaha membanteras penipuan pengeluaran bagi memastikan simpanan ahlinya terjamin untuk keperluan persaraan mereka.

 

Sehubungan itu, KWSP sentiasa teliti memproses permohonan pengeluaran simpanan ahli bagi memastikan simpanan berkenaan dikeluarkan hanya untuk tujuan yang dibenarkan oleh Akta KWSP 1991.

 

"Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap masa depan persaraan ahli, KWSP menyediakan beberapa jenis pengeluaran yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup semasa persaraan mereka seperti pengeluaran perumahan, pendidikan tinggi dan juga untuk merawat penyakit kritikal," kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

"Apabila ahli mengeluarkan atau cuba untuk mengeluarkan simpanan mereka di bawah pengeluaran yang disediakan tetapi menggunakan wang berkenaan untuk tujuan lain, mereka boleh didakwa atas tuduhan menipu atau cubaan menipu pengeluaran," tambah beliau.

 

Penipuan pengeluaran simpanan KWSP adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991. Sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan untuk tempoh maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

 

Dalam kebanyakan kes penipuan pengeluaran, ahli didapati mengemukakan dokumen sokongan palsu seperti laporan perubatan dan surat pendaftaran daripada institusi pengajian tinggi untuk menipu KWSP bagi meluluskan permohonan mereka.

 

Dalam kes-kes sebelum ini, terdapat beberapa institusi pengajian tinggi swasta, pusat perubatan swasta dan sindiket telah bersubahat dengan ahli membekalkan dokumen palsu. Pihak sindiket akan menuntut sebahagian simpanan yang berjaya dikeluarkan sebagai bayaran perkhidmatan.

 

"Adalah menyedihkan apabila ahli menipu bagi mengeluarkan simpanan mereka. Lebih menyedihkan lagi ialah apabila ahli sanggup membayar sebahagian daripada simpanan hasil titik peluh mereka kepada pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab. Ahli harus sedar bahawa tindakan mereka ini hanya menipu diri sendiri," tambah Nik Affendi.

 

KWSP telah memperketatkan pemprosesan pengeluaran bagi memastikan setiap permohonan adalah tulen. Bagaimanapun, sekiranya ahli berjaya mengeluarkan simpanan mereka melalui cara yang tidak sah, KWSP masih boleh mengesan permohonan berkenaan melalui kaedah pemantauan yang diwujudkan. Dalam kes seperti ini ahli masih boleh didakwa di mahkamah.

 

"Terdapat juga kes di mana ahli diperdayakan oleh pihak sindiket untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka. KWSP ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah untuk persaraan dan mereka tidak sepatutnya bersubahat dengan sindiket yang boleh mengurangkan simpanan ini. Matlamat KWSP adalah untuk melindungi simpanan ahli demi masa depan persaraan mereka," kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.