Kemaskini terakhir : 12/03/2019 11:28     

KWSP Tandatangan Kod Malaysia Bagi Pelabur Institusi

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ia kini merupakan penandatangan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi (“Kod”) sebagai langkah menggalakkan tadbir urus korporat yang baik di Malaysia.  Tandatangan bagi pihak KWSP adalah Pengerusi Tan Sri Samsudin Osman.

 

KWSP telah terlibat secara aktif dalam pembangunan Kod tersebut yang telah dilancarkan pada 27 Jun 2014 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti di kalangan pelabur institusi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Dengan menandatangani Kod ini, ia mengukuhkan lagi komitmen KWSP sebagai pelabur yang bertanggungjawab dalam memastikan tahap akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi serta menggalakkan amalan terbaik dalam tadbir urus di kalangan syarikat penerima pelaburan kami di Malaysia.

 

“Sebagai salah satu pelabur institusi terbesar dan pemain utama dalam pasaran kewangan tempatan dengan lebih 34 peratus dari jumlah aset RM713 bilion (sehingga S3 2016) dilaburkan dalam pasaran ekuiti, penerapan Kod ini akan memberikan pengaruh yang ketara ke atas syarikat penerima pelaburan kami kerana saiz pegangan kami yang besar.”

 

Kod yang didorong oleh industri ini yang merangkumi enam prinsip, adalah bertujuan untuk menggalakkan pengawasan yang efektif oleh pelabur institusi seperti pendedahan polisi pengawasan, pemantauan dan libat urus dengan syarikat penerima pelaburan dan pengurusan konflik kepentingan.  Ia menggalakkan pelabur institusi untuk mengamalkan pendedahan korporat dan ketelusan yang seterusnya akan membawa kepada penciptaan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham.

 

Datuk Shahril berkata sejak pelancaran Kod ini pada 2014, KWSP telah mengambil beberapa langkah untuk menerimapakai kesemua enam prinsip dalam Kod tersebut.

 

Pengerusi Majlis Pelabur Institusi Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, “Penyertaan KWSP dalam menandatangani Kod ini merupakan acara yang amat dinantikan oleh Majlis Pelabur Institusi dan juga oleh pasaran ekuiti Malaysia secara keseluruhannya.

 

“Kami berharap ini boleh menggalakkan lebih ramai pemilik aset dan pengurus aset di Malaysia untuk mengambil langkah yang sama untuk menjadi penandatangan Kod ini.”

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi, sila layari https://www.sc.com.my/wp-content/uploads/eng/html/cg/mcii_140627.pdf.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

 

Gambar 1: (Dari kiri): Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif; Pengerusi Majlis Pelabur Institusi Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

 

 

 

Gambar 2: Pengerusi Majlis Pelabur Institusi Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (kiri) dan Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman menandatangani Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi.