Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:21     

Hari Pertama Pendaftaran Simpanan Shariah KWSP Di Seluruh Negara Mendapat Sambutan Memberangsangkan

Pendaftaran untuk Simpanan Shariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara semalam telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan jumlah keseluruhan pendaftaran sebanyak 41,583 ahli.

 

Ahli telah mula mengunjungi kebanyakan kaunter KWSP seawal 7.00 pagi semalam.  Ini mencerminkan permintaan tinggi dari ahli berdasarkan kempen Rundingan Ahli yang telah dilaksanakan pada April 2015 di mana 71.0 peratus ahli KWSP bersetuju pilihan simpanan persaraan patuh Syariah diperkenalkan.

 

Dana sebanyak RM100 bilion, yang merangkumi 15 peratus daripada aset Pelaburan keseluruhan KWSP sebanyak RM681.71 bilion setakat Mac 2016, telah diperuntukkan untuk Simpanan Shariah 2017 dan peruntukan dana adalah berdasarkan giliran. Bagi melayakkan ahli mendapatkan tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah pada 2017, ahli mestilah memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah selewat-lewatnya pada 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada peruntukkan dana tersebut.

 

Hari pertama pendaftaran Simpanan Shariah menyaksikan beberapa cawangan KWSP beroperasi pada kapasiti tahap maksimum dan menjalankan proses pendaftaran secara manual. Kami masih menjangkakan bahawa jumlah pendaftaran kaunter sepanjang minggu ini masih tinggi, justeru itu kami masih mengira baki peruntukan dana berdasarkan data daripada kesemua cawangan. Ahli dinasihatkan agar mengikuti laman Facebook KWSP dan Twitter untuk maklumat terkini tentang status cawangan sesak.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja