Kemaskini terakhir : 12/03/2019 2:58     

Simpanan Shariah KWSP Cecah RM41.1 Bilion

KUALA LUMPUR, 14 September 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa setakat Selasa, 13 September 2016, sebanyak 41.07 peratus atau RM41.1 bilion daripada alokasi permulaan RM100 bilion untuk Simpanan Shariah 2017 telah digunakan sejak pendaftaran Simpanan Shariah dibuka pada 8 Ogos 2016.

 

Ahli yang ingin memilih Simpanan Shariah digalakkan untuk datang ke mana-mana kaunter KWSP di seluruh negara secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan pendaftaran saat akhir di bulan Disember. Tarikh tutup pendaftaran Simpanan Shariah 2017 adalah pada 23 Disember 2016 atau selagi alokasi dana RM100 bilion masih ada.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Simpanan Shariah, Soalan Lazim (FAQ) dan proses pendaftaran, layari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di 03-89226000.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.