Kemaskini terakhir : 14/03/2019 5:51     

Enam Ahli Didenda Atas Kesalahan Menipu Pengeluaran Perumahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan enam ahlinya telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah bagi tempoh suku tahun pertama 2014 (Januari – Mac 2014) kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan.



Enam ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda berjumlah RM13,000 oleh mahkamah. Denda yang dikenakan ialah di antara RM500 dan RM3,000. Ahli tersebut akan dipenjara sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan ahli, KWSP tidak akan bertolak ansur terhadap ahli yang mengemukakan tuntutan palsu atau penipuan ke atas simpanan KWSP mereka. KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur.”



Dalam tempoh yang sama, sejumlah empat saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli kerana penipuan pengeluaran.



Penipuan pengeluaran yang melibatkan ahli mengemukakan dokumen palsu bagi memperoleh kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka, merupakan kesalahan di bawah Akta KWSP 1991. Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah dalam penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.



Ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.



“KWSP sentiasa memantau ahli yang terbabit. Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya,” kata Nik Affendi. Tambah beliau, KWSP mempunyai sistem yang komprehensif untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang melakukan penipuan pengeluaran walaupun simpanan telah berjaya dikeluarkan.



Nik Affendi juga mengingatkan ahli, terutama yang mengalami masalah kewangan agar berhati-hati akan sindiket yang diiklankan dalam beberapa laman web yang menawarkan bantuan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka. KWSP, kata beliau, tidak pernah melantik pihak ketiga untuk mengendalikan permohonan pengeluaran ahli.



“Ahli yang layak dan ingin membuat pengeluaran daripada akaun KWSP mereka perlu berurusan terus dengan KWSP yang menyediakan perkhidmatan secara percuma,” kata Nik Affendi.



Ahli digesa memberikan sokongan terhadap usaha KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran. Ahli yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan melakukan penipuan pengeluaran boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Tarikh: 21 April 2014