Kemaskini terakhir : 13/03/2019 12:49     

KWSP Bentang Laporan Tahunan 2015

Strategi pendiversifikasian mengurangkan impak cabaran ekonomi

 

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2015 bertemakan “Memperkasakan Persaraan Anda”. KWSP melaporkan peningkatan 4.91 peratus caruman tahunan kepada RM59.98 bilion, berbanding jumlah pengeluaran RM44.25 bilion, sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM15.73 bilion.

 

Laporan Tahunan ini, yang dibentangkan di Parlimen di peringkat Dewan Rakyat pada 5 April 2016 dan Dewan Negara pada 28 April 2016, melaporkan kenaikan 7.54 peratus jumlah aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion berbanding RM636.53 bilion pada 2014. KWSP menutup tahun 2015 dengan pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM44.23 bilion dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 7.48 peratus, iaitu peningkatan 23 mata asas berbanding 7.25 peratus pada 2014.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Tahun 2015 merupakan tahun yang dibelenggu isu cabaran ekonomi dan pasaran di peringkat global, namun program pendiversifikasian pelaburan jangka panjang yang baik telah membantu mengurangkan impak cabaran ekonomi.

 

“Aset luar negara merangkumi 25 peratus daripada jumlah keseluruhan aset kami telah berjaya menyumbang 48 peratus daripada pendapatan pelaburan kasar, membolehkan kami menjana pulangan daripada pasaran lain ketika pasaran tempatan menunjukkan prestasi lebih rendah dari jangkaan. Kedudukan kami yang kukuh dalam pasaran global membuka peluang untuk memeterai beberapa kerjasama strategik seperti menceburi bidang pembangunan hab logistik bersama Kumpulan Goodman dari Australia.”

 

Antara pencapaian terbaik KWSP pada 2015 adalah pengisytiharan kadar dividen 6.40 peratus semasa keadaan pasaran yang meruap dan amat mencabar.  Jumlah dividen yang dikreditkan ke dalam akaun ahli adalah sebanyak RM38.24 bilion dan jumlah berbayar untuk setiap satu peratus kadar dividen untuk tahun tersebut adalah RM5.98 bilion, meningkat 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014.

 

Sehingga 31 Disember 2015, jumlah ahli meningkat kepada 14,550,355 yang mana 6,794,604 adalah ahli aktif. Jumlah majikan yang mencarum kepada KWSP meningkat kepada 536,489. Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 20.8 peratus kepada 1.95 juta yang berjumlah RM44.01 bilion melalui pelbagai skim pengeluaran. 

 

Selaras dengan permintaan daripada ahli untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih cekap, KWSP terus membuat penambahbaikan kepada proses dalaman dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.  Laporan Tahunan ini melaporkan bahawa dari jumlah keseluruhan transaksi oleh ahli iaitu 46.47 juta menerusi pelbagai saluran KWSP, 12.65 juta transaksi dibuat melalui i-Akaun.  Perkhidmatan ini yang kini menjadi gerbang utama kepada perkhidmatan dalam talian KWSP yang lain seperti e-Pengeluaran dan e-Caruman, memberikan kemudahan kepada ahli untuk menyemak penyata KWSP mereka dan mengemaskini profail masing-masing secara dalam talian.

 

Sehingga 31 Disember 2015, sebanyak 28,151 ahli menggunakan perkhidmatan e-Pengeluaran untuk menyerahkan permohonan pengeluaran secara dalam talian yang sekaligus telah menggalakkan penyertaan lima buah bank. Manakala perkhidmatan e-Caruman, yang memudahkan majikan untuk menyerahkan maklumat caruman pekerja dan membuat pembayaran secara dalam talian, telah menyaksikan 331,759, atau 75 peratus majikan menggunakan perkhidmatan ini setiap bulan.

 

Menyentuh tentang tema “Memperkasakan Persaraan Anda”, Datuk Shahril berkata, “Kekuatan dan reputasi KWSP adalah berdasarkan prinsip memastikan ahli mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan yang lebih selesa.  Kami terus meneraju usaha untuk membantu mengatasi isu ketidakcukupan simpanan persaraan. Sebagai contoh, usaha kami memperkenalkan empat inisiatif penambahbaikan ke atas skim KWSP sedia ada.

 

Penambahbaikan ke atas skim KWSP tersebut menyusul selepas Rundingan Ahli dijalankan pada April 2015 di mana di akhir tempoh rundingan, seramai 96,448 ahli telah menyertainya, menjadikan ia rundingan ahli terbesar di negara ini. Cadangan penambahbaikan tersebut telah dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan pada November 2015 dan telah diluluskan dengan sokongan dari kedua-dua belah pihak dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Berikutan komitmen KWSP untuk memperkasakan ahli untuk merancang persaraan mereka, lima Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) telah ditubuhkan di cawangan Johor Bahru, Kuantan, Ipoh, Kota Kinabalu dan Seberang Jaya, menjadikan jumlah keseluruhan kepada tujuh daripada dua buah unit terawal di cawangan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada 2014. Terdapat perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan ini kepada 11 lagi cawangan di seluruh negara pada tahun 2016.

 

Pada 2015, KWSP juga telah melancarkan kempen celik kewangan untuk menggalakkan ahli meningkatkan kecekapan menguruskan wang untuk perancangan persaraan yang baik di masa hadapan. “Dengan peningkatan pemahaman tentang kewangan dan pengurusan wang, kami berpendapat bahawa ahli KWSP akan menjadi lebih bijak dalam membuat keputusan pelaburan dan simpanan yang baik,” kata Datuk Shahril.                                                                                                                     

Laporan Tahunan 2015 KWSP ini dilancarkan oleh Datuk Shahril semasa taklimat media hari ini, di mana Dato’ Mohd Naim Daruwish, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) menyampaikan taklimat prestasi Operasi diikuti oleh Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) untuk prestasi Pelaburan. Turut hadir adalah Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi), serta ketua-ketua jabatan dan pengurusan kanan KWSP.

 

Ahli yang ingin mendapatkan versi penuh Laporan Tahunan 2015 boleh memuat turun daripada laman web myEPF di new.epf.gov.my.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.