Kemaskini terakhir : 12/03/2019 10:05     

KWSP Bentang Laporan Tahunan 2016

Aset pelaburan meningkat kepada RM731.11 bilion dalam suasana ekonomi dunia tidak memberangsangkan

 

KUALA LUMPUR, 20 April 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2016 bertemakan “Demi Masa Depan Yang Lebih Baik”, yang kini boleh dimuat turun daripada laman web myEPF di pautan www.kwsp.gov.my. KWSP melaporkan peningkatan 2.68 peratus caruman tahunan kepada RM61.59 bilion, berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM46.80 bilion, sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM14.79 bilion.   

 

Laporan tahunan ini, yang dibentangkan di Parlimen pada 5 April 2017, melaporkan kenaikan 6.81 peratus jumlah aset pelaburan KWSP kepada RM731.11 bilion berbanding RM684.53 bilion pada 2015. KWSP menutup tahun 2016 dengan pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM46.56 bilion dengan pulangan pelaburan kasar (ROI) sebanyak 7.12 peratus, penurunan sebanyak 36 mata asas berbanding 7.48 peratus pada 2015.

 

Jumlah dividen yang dikreditkan ke dalam akaun ahli adalah sebanyak RM37.08 bilion dan jumlah berbayar untuk setiap peratus kadar dividen untuk tahun tersebut adalah RM6.51 bilion, meningkat 8.86 peratus berbanding RM5.98 bilion pada 2015.

 

Prestasi mantap ketika ketidaktentuan pasaran

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Sepanjang tahun 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang tidak memberangsangkan, selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak mentah, nilai mata wang domestik yang lemah, pendapatan korporat yang kurang memberangsangkan serta aliran keluar modal berskala besar dari pasaran negara baru muncul kepada pasaran negara maju serta mata wang yang lebih selamat.

 

“Saya berbesar hati apabila kami mampu mengumumkan dividen sebanyak 5.70 peratus untuk 2016, satu prestasi yang cukup membanggakan ketika berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang cukup mencabar.”

 

Ketika prestasi pasaran domestik lebih rendah daripada yang dijangkakan, strategi diversifikasi membolehkan KWSP menjana keuntungan daripada pasaran lain. Setakat 31 Disember 2016, pelaburan global KWSP yang membentuk 29 peratus daripada aset di bawah pengurusan (AUM) yang berjumlah RM731.11 bilion, menyumbang lebih kurang 39 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion untuk tahun yang dikaji.

 

“Sebagai persediaan ke arah menjadi sebuah dana persaraan bernilai satu trilion ringgit, kami merancang untuk meningkatkan pendedahan kepada pasaran global pada tahun-tahun yang akan datang. Ini selaras dengan strategi KWSP untuk melaksanakan pelaburan berhemah di samping usaha mempelbagaikan kelas aset, geografi dan mata wang. Strategi kami yang menekankan kepelbagaian aset terbukti berkesan ketika berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar, membolehkan kami mengimbangi semula portfolio dan mengambil keuntungan daripada kelas aset mengikut keadaan pasaran,” tambah Datuk Shahril.

 

Pelancaran Simpanan Shariah

Mengambil kira pandangan ahli yang diperolehi semasa Rundingan Ahli yang dijalankan pada 2015, beberapa inisiatif strategik telah dilaksanakan sepanjang tahun 2016. Antara lain, KWSP kini menawarkan pilihan kepada ahli melalui pengenalan Simpanan Shariah, yang pertama dan terbesar seumpamanya di dunia yang menawarkan skim persaraan patuh syariah sepenuhnya.

 

Semasa pendaftaran ditutup pada 23 Disember 2016, sejumlah 635,037 ahli telah bertukar dari Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah, manakala RM59.03 bilion daripada RM100 bilion peruntukan telah digunakan. Sebelum pengenalan Simpanan Shariah, aset patuh syariah telah pun merangkumi lebih kurang 45 peratus daripada jumlah aset pelaburan. Kini, KWSP menjangka untuk meningkatkan pegangan aset patuh syariah pada kadar sekurang-kurangnya RM25 bilion setahun secara purata. 

 

“Kami menjangkakan Simpanan Shariah bakal menjadi penggerak penting dalam lanskap kewangan Islam kerana ia mampu mencetus peningkatan jumlah permintaan terhadap instrumen kewangan patuh Syariah. Tambahan pula, Simpanan Shariah adalah selaras dengan prinsip pelaburan beretika, salah satu bidang yang semakin menerima sambutan dalam dunia pelaburan,” kata Datuk Shahril.

 

Di samping itu, KWSP turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan yang signifikan ke atas Akta KWSP 1991. Ini termasuk pengenalan Akaun Emas yang menjadi simpanan persaraan kedua kepada individu yang terus bekerja antara umur 55 tahun sehingga 60 tahun, serta perlanjutan tempoh pembayaran dividen dari umur 75 tahun sehingga ke 100 tahun. Selain itu, penambahbaikan polisi KWSP yang penting adalah penyelarasan skim pengeluaran untuk pencarum asing (lihat Lampiran 1).

 

Penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan teras

Sehingga 31 December 2016, jumlah ahli meningkat kepada 14,806,595 yang mana 6,882,983 adalah ahli aktif. Jumlah majikan yang mencarum kepada KWSP meningkat kepada 540,833. Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 21.02 peratus kepada 2.36 juta, manakala 2.27 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM46.80 bilion.

 

KWSP sentiasa berusaha untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kepada ahli kami yang kini berjumlah 14.81 juta orang dan semakin bertambah. KWSP telah berusaha gigih untuk mengurangkan jumlah transaksi kaunter, untuk digantikan dengan perkhidmatan atas talian dan aplikasi mudah alih. Hasilnya, tahun 2016 menyaksikan platform atas talian seperti i-Akaun, Kios KWSP dan laman sesawang myEPF berkembang menjadi platform pilihan ahli untuk berurusan dengan KWSP, dengan pertumbuhan kukuh dalam jumlah pengguna yang direkodkan pada setiap suku tahun. Turut membanggakan apabila KWSP mengakhiri tahun 2016 denagn jumlah pendaftaran i-Akaun ahli dan majikan sebanyak 3.93 juta.

 

Fasiliti e-Pengeluaran yang membolehkan ahli menghantar permohonan pengeluaran secara atas talian, turut merekodkan pertumbuhan penggunaan, setelah kemudahan Pengeluaran Pendidikan atas talian diperkenalkan sejak Disember 2015. Berikutan pengenalan Pengeluaran Perumahan melalui e-Pengeluaran yang mendapat sambutan baik, kemudahan Pengeluaran Pendidikan melalui e-Pengeluaran telah dilancarkan dan ditambah baik dengan peningkatan penyertaan oleh institusi kewangan dan institusi pendidikan tinggi.

 

Penuaan Aktif

Mengulas tema “Demi Masa Depan Yang Lebih Baik”, Datuk Shahril berkata, “Sebagai dana simpanan persaraan yang bertanggungjawab, sudah menjadi keutamaan kami untuk membantu ahli bersara dalam keadaan yang selesa dan bermaruah. Ini menjadi asas kepada pengenalan pelbagai inisiatif persaraan, di mana kami berhasrat untuk membantu mewujudkan masa depan persaraan yang lebih baik untuk ahli, di mana mereka dilengkapi dengan ilmu celik kewangan dalam membuat keputusan kewangan yang sejajar dengan citarasa dan gaya hidup yang diinginkan.”

 

Pada tahun 2016, sejumlah 11 kaunter Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) telah dibuka di beberapa cawangan, seterusnya menambah kepada jumlah cawangan yang menawarkan perkhidmatan tersebut kepada 18.  Melalui RAS, ahli boleh mendapatkan pelbagai nasihat perancangan kewangan seperti memaksimakan simpanan persaraan di samping menikmati kesan penggandaan dari dividen tahunan. Setakat 31 Disember 2016, seramai 22,000 ahli telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai RAS.

 

“Kami amat teruja apabila RAS berjaya mendapat pengiktirafan daripada WorldPensionSummit dalam kategori inovasi perkhidmatan persaraan. KWSP merupakan dana persaraan pertama di rantau ini dan kedua di dunia yang menyediakan perkhidmatan sedemikian secara percuma dan terbuka kepada semua ahli,” kata Datuk Shahril.

 

KWSP juga merancang untuk mengembangkan rangkaian RAS melalui perkhidmatan Tele-RAS menjelang hujung tahun 2017 yang membolehkan ahli mendapat panduan dan nasihat kewangan menerusi Pusat Pengurusan Perhubungan, manakala aplikasi mobil perancangan kewangan dan persaraaan juga disasarkan untuk dilancarkan sebelum hujung 2018.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.