Kemaskini terakhir : 15/03/2019 4:52     

KWSP Ketatkan Langkah Keselamatan Cegah Penipuan Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengetatkan langkah keselamatan dalam memproses permohonan pengeluaran berikutan penemuan beberapa kes penipuan dan cubaan menipu pengeluaran di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Perak dan Sarawak.

 

"KWSP telah melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi memastikan setiap permohonan adalah tulen. Kawalan dalaman ini mungkin akan menyebabkan sedikit kelewatan dalam memproses pengeluaran, dan kami meminta ahli agar bersabar kerana langkah ini bertujuan melindungi simpanan mereka," kata Encik Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

"Ahli boleh membantu KWSP dengan memastikan mereka mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap semasa membuat permohonan untuk mengelakkan kelewatan," tambah beliau.

 

Pada Ogos tahun ini, KWSP telah membuat laporan polis berhubung 312 kes penipuan pengeluaran pendidikan yang melibatkan ahli dan dua institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Kelang. Kedua-dua institusi swasta itu didapati telah membekalkan maklumat palsu kepada KWSP dengan mendakwa ahli-ahli terbabit telah mendaftar untuk mengikuti kursus-kursus di institusi berkenaan.

 

Di Pulau Pinang, laporan polis telah dibuat pada bulan Oktober lalu berhubung 19 kes cubaan menipu pengeluaran dan enam kes penipuan pengeluaran manakala Perak dan Sarawak masing-masing melaporkan satu kes penipuan pengeluaran.

 

"KWSP memandang serius terhadap penipuan pengeluaran tersebut dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991. Ahli yang terbabit boleh dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali," tambah Encik Nik Affendi.

 

Sementara itu, di Sarawak terdapat kes seorang ahli yang melakukan penipuan pengeluaran telah dipenjara tujuh hari dan didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuching pada Jun tahun ini kerana mengeluarkan simpanan KWSP dengan mengemukakan butiran dan dokumen sokongan palsu kononnya untuk membeli rumah.

 

Siasatan dalaman oleh pejabat negeri mendapati dalam beberapa kes penipuan pengeluaran, sebahagian besar simpanan yang dikeluarkan telah dibayar kepada pihak ketiga sebagai komisen.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.