Kemaskini terakhir : 27/10/2020 9:03     

KWSP BUKA SEMULA CAWANGAN DI NEGERI SELANGOR, WP KUALA LUMPUR, LABUAN, DAN NILAI BERMULA 2 NOVEMBER 2020

  • Kaunter dibuka dari 9 pagi – 2 petang, untuk perkhidmatan yang terhad

  • Ahli mesti membuat janji temu terlebih dahulu melalui Janji Temu Online (JTO)

  • Cawangan Kajang kekal tutup berikutan PKPD

  • Cawangan Nilai tutup sementara pada 28 hingga 30 Oktober sebelum dibuka semula pada 2 November 2020

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangannya di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, dan Nilai bermula Isnin, 2 November 2020, dari 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja. Walau bagaimanapun, cawangan KWSP Kajang masih ditutup buat sementara waktu.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai, Negeri Sembilan, cawangan KWSP Nilai akan ditutup sementara dari 28 hingga 30 Oktober 2020. Sehubungan itu, semua janji temu untuk berurusan di cawangan KWSP Nilai dalam tempoh ini dibatalkan serta merta. Ahli boleh melayari Janji Temu Online (JTO) bermula hari ini untuk membuat janji temu yang baharu bagi perkhidmatan tertentu yang disediakan apabila cawangan KWSP Nilai dibuka kelak.

Walaupun jumlah kes COVID-19 yang dicatatkan sedang meningkat, keputusan untuk menyambung perkhidmatan tertentu di cawangan yang dinyatakan adalah untuk membantu ahli yang memerlukan akses kepada simpanan KWSP mereka. Senarai pejabat dan kaunter yang terkesan dengan keadaan pandemik pada ketika ini boleh dirujuk di Lampiran.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli, majikan, dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan SOP berikut di semua cawangan dan pejabatnya:

A. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman web www.kwsp.gov.my/janjitemu;

B. Ahli hanya boleh berurusan untuk perkhidmatan tertentu di cawangan yang beroperasi di negeri Selangor (tidak termasuk KWSP Kajang), WP Kuala Lumpur dan Labuan, dan Nilai, seperti berikut:

  • Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 Tahun
  • Pengesahan Cap Ibu Jari e-Pengeluaran


C. Semua ahli perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis KWSP;

D. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis KWSP;

E. Para majikan disarankan untuk menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing untuk mendapatkan khidmat nasihat lanjut; dan

F. Ahli dan majikan disarankan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa

KWSP sedang mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri-negeri ini dan di seluruh negara secara amnya. Sebarang kesulitan yang timbul daripada pengurangan perkhidmatan ini adalah dikesali, namun kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di cawangan KWSP setiap hari daripada pelbagai lokasi perlu menjadi keutamaan.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat

27 Oktober 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

LAMPIRAN: CAWANGAN KWSP YANG TERKESAN DENGAN KEADAAN COVID-19 SETAKAT 27 OKTOBER 2020

No.

Cawangan KWSP

       Status setakat 27 Okt                    2020       

1

Semua cawangan KWSP Sabah

Kekal tutup sejak 13 Oktober 2020 sehingga dimaklumkan kelak

2

Semua cawangan KWSP di Selangor (kecuali KWSP Kajang), Kuala Lumpur, dan Labuan

  • Tutup bermula 22 Oktober 2020
  • Akan menyambung perkhidmatan tertentu bermula 2 November 2020

3

KWSP Kajang

Kekal tutup sejak 22 Oktober 2020 sehingga dimaklumkan kelak

4

KWSP Nilai

  • Tutup bermula 28 hingga 30 Oktober 2020
  • Akan menyambung perkhidmatan tertentu bermula 2 November 2020