Kemaskini terakhir : 30/06/2021 2:07     

KWSP BUKA SEMULA KAUNTER PERKHIDMATAN DI PEJABAT CAWANGAN

  • Kaunter perkhidmatan KWSP dibuka dari jam 8.30 pagi – 2.00 petang untuk perkhidmatan terpilih

  • Ahli hendaklah membuat janji temu melalui Janji Temu Online (JTO)



KUALA LUMPUR, 30 Jun 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka semula kaunter perkhidmatan di pejabat cawangan di seluruh negara mulai Khamis, 1 Julai 2021. Waktu operasi kaunter perkhidmatan adalah mulai jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang pada hari bekerja untuk beberapa perkhidmatan terpilih.

Pembukaan semula kaunter perkhidmatan di pejabat cawangan KWSP bagi perkhidmatan terpilih adalah bagi memenuhi keperluan ahli yang memerlukan perkhidmatan KWSP disamping mengimbangi aspek kesihatan dan keselamatan anggota serta ahli yang hadir berurusan. Perkhidmatan terpilih yang disediakan adalah seperti berikut:

A. Pengeluaran Umur 50, 55 dan 60

B. Pengeluaran Kesihatan

C. Pengeluaran Kematian; dan

D. Penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank pengeluaran


Ahli hendaklah membuat janji temu terlebih dahulu melalui Janji Temu Online (JTO) dengan melayari www.kwsp.gov.my/janjitemu sebelum mendapatkan perkhidmatan di kaunter perkhidmatan KWSP.

KWSP akan menghubungi ahli untuk hadir di kaunter perkhidmatan pejabat KWSP yang berkenaan bagi urusan penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank untuk pengeluaran yang telah dibuat oleh ahli.

Semua urusan di kaunter perkhidmatan KWSP akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berikut:

A. Ahli mesti menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki pejabat KWSP;

B. Ahli hendaklah mematuhi penjarakan sosial seperti yang ditetapkan semasa berada di pejabat KWSP.

Ahli disarankan untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) bagi perkhidmatan-perkhidmatan KWSP yang telah disediakan secara dalam talian bagi mempercepatkan dan memudahkan urusan dengan KWSP.

Sekiranya memerlukan penjelasan lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my

 

 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
30 Jun 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.