Kemaskini terakhir : 11/06/2020 11:45     

KWSP SAMBUNG SEMULA PERKHIDMATAN KAUNTER MELALUI JANJI TEMU ONLINE

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan kaunter di semua 68 cawangan di seluruh negara mulai 15 Jun 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu. Walaubagaimanapun, ahli hanya boleh mengakses perkhidmatan KWSP melalui kemudahan Janji Temu Online.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan menerapkan garis panduan ketat seperti berikut:

  1. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my
  2. Semua ahli mesti menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis cawangan;
  3. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis cawangan; dan
  4. Majikan tidak dibenarkan mengunjungi cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilaksanakan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing.
     

Ketika negara sedang memasuki norma baru, KWSP ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan penerimaan para ahli akan usaha KWSP dalam memberikan kualiti perkhidmatan terbaik melalui saluran fizikal (cawangan, khidmat bantuan dan kios) dan saluran elektronik (pusat pengurusan perhubungan, laman sesawang dan aplikasi mudah alih).

Di samping itu, Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP juga akan beroperasi semula mulai 10 Jun 2020. Ahli dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk kepada laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my untuk maklumat lanjut berkenaan produk dan perkhidmatan KWSP.
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

10 Jun 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.