Kemaskini terakhir : 06/05/2020 6:05     

KWSP SAMBUNG SEMULA PERKHIDMATAN TERTENTU DI CAWANGAN NEGERI PULAU PINANG, KEDAH DAN KELANTAN

KUALA LUMPUR, 6 Mei 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangan yang terletak di negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 2020, Kedah pada 10 Mei 2020, dan Kelantan pada 11 Mei 2020.

Berikutan itu, senarai terbaharu cawangan KWSP yang telah menyambung semula perkhidmatan tertentu adalah seperti berikut:
 

NEGERI

PENYAMBUNGAN SEMULA PERKHIDMATAN TERTENTU

Wilayah Persekutuan, Selangor, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu

6 Mei 2020

Pulau Pinang

8 Mei 2020

Kedah

10 Mei 2020

Kelantan

11 Mei 2020

 

Cawangan di Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak.

Perkhidmatan yang akan disediakan di cawangan-cawangan yang dinyatakan adalah Pengeluaran Umur 50/55/60, Pengeluaran Kesihatan dan pengaktifan serta pengemaskinian maklumat i-Akaun.

Bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan anggota, kami akan terus melaksanakan beberapa syarat yang ketat di cawangan seperti berikut: 
 

  1. Bagi mengurangkan risiko pendedahan COVID-19 ke atas ahli dan anggota, cawangan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal, iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60, Pengeluaran Kesihatan dan pengaktifan serta pengemaskinian maklumat i-Akaun;
  2. Para majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing;
  3. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan; dan
  4. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

6 Mei 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.