Kemaskini terakhir : 15/03/2019 10:05     

Dua Ahli Bersalah Menipu Pengeluaran Perumahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan dua ahlinya telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah antara Oktober dan Disember 2013 (S4 2013) atas penipuan atau cubaan menipu pengeluaran perumahan. Kedua-dua ahli itu telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda sebanyak RM800 setiap seorang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “KWSP ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah untuk menampung keperluan asas persaraan apabila mereka bersara. Sebarang cubaan untuk mengeluarkan simpanan secara tidak sah adalah bercanggah dengan tujuan utama menyimpan dengan KWSP kerana akhirnya ahli juga yang akan rugi.

“Penipuan pengeluaran melibatkan penghantaran dokumen palsu oleh ahli bagi memperoleh kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka sendiri. KWSP mempunyai polisi toleransi sifar terhadap penipuan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang terlibat dalam penipuan.”

Dari Januari hingga Disember 2013, sejumlah 30 saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli yang terlibat dalam penipuan pengeluaran KWSP. Pada tempoh yang sama, 10 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan manakala 20 kes lagi masih dalam tindakan mahkamah.

Di bawah Akta KWSP 1991, mana-mana ahli yang didapati bersalah menipu pengeluaran akan berhadapan dengan maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Ahli yang telah disabit kesalahan dan mengembalikan wang yang telah dikeluarkan itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hanya dibenarkan memohon untuk membuat pengeluaran yang sama dua tahun dari tarikh wang tersebut dikembalikan. Bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

Nik Affendi menekankan KWSP mempunyai sistem komprehensif yang berupaya mengesan ahli yang terlibat dalam penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan itu berjaya dikeluarkan. Setiap permohonan pengeluaran dan dokumen sokongannya akan disemak secara terperinci dan kesahihan dokuman juga akan disahkan dengan pihak berkaitan.

Ahli juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket yang kononnya menawarkan bantuan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP secara tidak sah dengan mengenakan bayaran yang tinggi.

“Ahli tidak perlu meminta bantuan pihak ketiga untuk membuat permohonan pengeluaran kerana proses pengeluaran KWSP adalah mudah sekiranya semua syarat telah dipenuhi. Pegawai KWSP sentiasa sedia membantu dan perkhidmatan KWSP adalah percuma,” kata beliau.

Ahli digesa agar memberikan sokongan kepada KWSP dalam membanteras kegiatan penipuan. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau cubaan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Tarikh: 21 Januari 2014