Kemaskini terakhir : 13/03/2019 4:52     

KWSP Kesan Kes Penipuan Pengeluaran Pendidikan Dua Klinik Turut Terlibat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengesan beberapa kes penipuan pengeluaran simpanan ahli melalui Pengeluaran Pendidikan dan Kesihatan.

 

Siasatan awal KWSP mendapati 11 institusi pengajian tinggi swasta dan dua klinik/pusat perubatan di Lembah Klang terlibat dalam kegiatan ini.

 

'Perbuatan ini memberikan kesan yang serius dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang terlibat dalam kes penipuan pengeluaran,' kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

Siasatan KWSP menunjukkan ahli yang membuat penipuan pengeluaran tidak menerima jumlah penuh simpanan mereka kerana antara 20 peratus hingga 70 peratus telah dibayar sebagai komisen kepada pihak ketiga yang terlibat.

 

'Kami ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah bagi keselesaan semasa mereka bersara. Jika mereka menipu semasa membuat pengeluaran simpanan sebelum bersara, mereka tidak akan mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mereka memerlukannya,' kata Nik Affendi.

 

Langkah keselamatan tambahan juga telah diambil oleh KWSP bagi memastikan kegiatan seperti ini dihapuskan.

 

Antara bulan Januari hingga April tahun ini, Unit Keutuhan Integriti & Fraud KWSP telah melawat 11 institusi pengajian tinggi swasta dan dua klinik/pusat perubatan untuk memeriksa rekod berkaitan ahlinya dan menemu ramah ahli-ahli yang membuat permohonan.

 

Nik Affendi berkata KWSP akan terus membuat lawatan mengejut ke institusi pengajian tinggi swasta dan klinik untuk memeriksa rekod mereka. Kolej dan klinik yang terlibat dalam kegiatan penipuan pengeluaran akan disenaraihitamkan dan permohonan baru daripada mereka tidak akan diterima.

 

'Ahli perlu sedar bahawa tindakan mereka bekerjasama dengan institusi tersebut hanya akan merugikan mereka kerana mereka telah menyalahgunakan simpanan hari tua mereka,' tambah beliau.

 

Dengan bukti yang diperoleh, KWSP akan membuat laporan polis terhadap mereka yang terlibat. Ahli yang didakwa di bawah kegiatan penipuan pengeluaran boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Akta KWSP 1991.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.